Di Maria, De Paul sedia beraksi

DOHA: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni optimis Angel Di Maria dan Rodrigo De Paul akan dapat diturunkan pada aksi suku akhir Piala Dunia menentang Belanda, awal pagi Sabtu ini.

Di Maria terlepas aksi pusingan 16 terbaik menentang Australia berikutan masalah kecederaan dan terdapat kebimbangan mengenai tahap kecergasan De Paul yang beraksi dalam semua perlawanan di Qatar.

“Mereka dalam keadaan baik, kami akan menilai perkembangan mereka dalam latihan hari ini untuk menentukan barisan pemain,” kata Scaloni yang kurang senang dengan laporan mendakwa De Paul sedang menjalani proses pemulihan kecederaan hamstring.



“Semalam kami berlatih secara tertutup dan saya tidak tahu dari mana datangnya maklumat ini.

“Kebiasaannya selepas perlawanan ada pemain yang berlatih secara berasingan atau melakukan separuh sesi berdasarkan jumlah minit mereka bermain.

“Hari ini kami akan membuat keputusan mengenai pendekatan yang kami akan gunakan untuk perlawanan menentang Belanda. Itu adalah perkara yang paling penting.”

Pertemuan Argentina dengan Belanda dianggap aksi ulangan separuh akhir Piala Dunia 2014 di Brazil yang menyaksikan gergasi Amerika Selatan itu menang menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat 120 minit permainan.



Kedua-dua pasukan sebelum ini sudah lima kali bertemu di Piala Dunia termasuk final edisi 1978 yang menyaksikan Argentina melakar kemenangan 3-1 selepas masa tambahan.

Argentina tidak pernah menewaskan Belanda dalam tempoh 90 minit.

“Mereka melakukan sepakan penalti semalam. Mereka akan menjalani latihan sepakan penalti semasa latihan,” kata Scaloni.

“Semuanya bergantung kepada nasib apabila permainan ditentukan menerusi penalti. Saya harap kami tidak perlu mengharungi situasi berkenaan (penentuan penalti) dan memenangi perlawanan sebelum itu.”



AFP

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button