Arah kiblat premis, ruang solat di Selangor sudah ditentusah

KUALA LUMPUR: Semua premis dan ruang solat di Selangor sudah diukur serta ditentusah oleh pegawai Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi memastikan umat Islam dapat beribadat dengan yakin.

Selain masjid dan surau yang diberi kebenaran menunaikan solat Jumaat, surau dan musolla lain, tanah perkuburan Islam serta ruang solat awam seperti di kawasan rawat dan rehat (RNR), stesen minyak, hotel, premis perindustrian, sekolah, pejabat dan sebagainya juga sudah disahkan arah kiblat.

Penolong Mufti Kanan (Falak), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Hardi Mohamad Sadali, berkata pihaknya tidak mempunyai data khusus berhubung rumah kediaman yang didakwa tersasar arah kiblat.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam kini mempunyai kesedaran dalam menentusahkan arah kiblat yang tepat termasuk menggunakan pelbagai aplikasi penentuan arah kiblat.

“Bagi kita yang tinggal jauh dari Makkah, jumhur ulama berpendapat memadai dengan menghadap jihah Kaabah dan tidak wajib menghadap ‘ain Kaabah.

“Jihah bererti had berpaling yang dibenarkan dari kiblat adalah lebih luas berbanding ‘ain sekiranya dirujuk kepada hadis yang menjadi hujah jumhur ulama daripada Abi Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Apa yang di antara timur dan barat adalah kiblat’ (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi),” katanya kepada BH di sini, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, pelbagai faktor termasuk kesilapan membaca kompas ketika membuat penentuan sendiri arah tempat solat, menyebabkan kira-kira 40 peratus kediaman sekitar Lembah Klang tersasar dari kedudukan kiblat yang tepat.

Ia menyaksikan ada di antara tempat atau ruang solat di sesebuah kediaman itu tersasar sehingga 180 darjah dari kedudukan sebenar.

Dapatan Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) selepas memeriksa lebih 20,000 kediaman dan premis untuk ditentusahkan arah kiblat masing-masing.

Daripada jumlah itu, PAFNS mendapati hanya 5,000 yang diperiksa mempunyai penanda arah kiblat yang ditandai tuan rumah dengan, 2,000 daripadanya jelas terpesong.

Oleh demikian, Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan memanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Negeri, untuk berbincang mengenai isu arah kiblat yang tersasar.

Hardi berkata, usaha mendapatkan arah kiblat setepat yang mungkin amat digalakkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

“Jabatan Mufti sentiasa memberi penerangan dan hebahan bagi menyemak ketepatan arah kiblat termasuk ketika berlakunya fenomena matahari berada pada kedudukan tegak di atas Kaabah.

“Orang ramai juga boleh merujuk jadual kedudukan bayang matahari searah kiblat dalam jadual waktu solat bulanan yang dikeluarkan di laman Facebook jabatan ini,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker