PBNP akan rayu keputusan FIFA arah bayar RM4.9 juta

06/02/2021 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) dijangka mengemukakan rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengarahkan persatuan itu membayar hampir RM5 juta kepada bekas pemainnya Mohamadou Sumareh.

Mengesahkan surat tuntutan berjumlah USD1.2 juta (kira-kira RM4.9 juta) diterima PBNP Selasa lepas, bekas pengurus Pahang Datuk Mohammed Suffian Awang berkata PBNP akan menyerahkan perkara itu kepada peguam untuk tindakan lanjut.

Mohammed Suffian yang kini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC berkata khidmat nasihat daripada pakar perundangan bola sepak antarabangsa mungkin juga akan digunakan PBNP dalam menghadapi kes tersebut.



“Ya, keputusan sudah pun ada tetapi kita inginkan justifikasi bagaimana jumlah (diarahkan bayar) itu dicapai.

“Perkara ini akan diserah kepada pihak peguam untuk menilai segala remedi atau langkah sewajarnya dalam tempoh 10 hari untuk kita buat rayuan kepada FIFA, untuk itu PBNP tidak tolak kemungkinan mengambil peguam antarabangsa untuk membantu dalam kes ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Mohammed Suffian, PBNP mempunyai masa 10 hari daripada tarikh keputusan diterima untuk mendapatkan terma-terma keputusan tersebut.

Media tempatan hari ini melaporkan FIFA mengarahkan PBNP membayar kira-kira RM4.9 juta kepada pemain naturalisasi pertama negara itu susulan kemuncak isu tunggakan gaji bersama Pahang musim lepas.



Sebelum ini, Sumareh mengambil tindakan menamatkan kontraknya berbaki sehingga 2022 bersama Pahang selain membuat aduan rasmi ke FIFA selepas mendakwa terdapat keculasan berhubung pembayaran gaji ketika bersama skuad Tok Gajah musim lepas.

Bagaimanapun, Mohammed Suffian berkata FIFA tidak pernah memanggil PBNP untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

“FIFA punya penilaian sebelah pihak, ia dipanggil penilaian ex-parte (sebelah pihak),” katanya.

FAM terus kunci mulut isu PBNP, Sumareh

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker