Pengerusi MPN Serang PM, Nilai Kebenaran Ketidakstabilan Yang Wajib Dipulihkan

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat seharusnya semakin boleh menilai tentang kebenaran yang dibangkitkan UMNO mengenai ketidakstabilan yang wajib dipulihkan.

Ini berikutan tindakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) ‘menyerang’ Perdana Menteri, yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini di platform media sosial yang membuktikan sebuah ketidakstabilan.

Tegas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ketidakstabilan ini yang menyulitkan kerajaan untuk berfungsi sebagai sebuah pasukan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang.

“Ketidakstabilan itu yang memperjudikan nasib serta masa depan rakyat dan negara ekoran tiada kebersamaan dalam kalangan pembuat dasar.

“Pentadbiran kerajaan saling tuduh menuduh memberi gambaran negatif kepada pelabur sekali gus menyukarkan usaha negara bangkit daripada kemusnahan pandemik.

“Ia amat mustahak direalisasikan segera kerana sebuah kerajaan yang kukuh sangat diperlukan bagi mendepani risiko kemelesetan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya berkaitan hal tersebut.

Bidasnya, tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyerang Perdana Menteri juga berbaur sabotaj terhadap kerajaan campuran Keluarga Malaysia.

“Sebagai Pengerusi MPN, beliau sepatutnya tahu kenyataan negatifnya akan memberi kesan terhadap prestasi kerajaan di mata dunia. Bagaimana pelabur asing boleh meyakini Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan apabila Pengerusi MPN menyatakan yang buruk tentang kerajaannya sendiri.

“Pengerusi PN seharusnya ‘cermin diri’ apabila menggambarkan Perdana Menteri sedia ada sebagai gagal sedangkan negara berdepan kegagalan teruk semasa beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu.

“Seramai 10,317 individu diisytihar muflis mulai Mac 2020 dan sebanyak 37,415 perniagaan ‘gulung tikar’ berikutan terkesan akibat pandemik COVID-19.”

Katanya, proses pemulihan ekonomi negara pasca pandemik malah berjalan pada kadar yang perlahan semasa negara mempunyai sebuah badan yang diketuai beliau untuk memulihkan negara.

“Malaysia juga tidak boleh meletakkan harapan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memulihkan negara kerana kerosakan ekonomi telah pun bermula seawal mereka memenangi PRU-14.

“Ironinya, Pengerusi MPN merangkap Pengerusi PN juga merupakan sebahagian anggota Kabinet Kerajaan PH ketika itu. Apakah individu yang pernah gagal berkali-kali layak menuduh individu lain sebagai gagal jua?”

Jelas Ahmad Zahid, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini tidak menolak kemungkinan kemelesetan ekonomi global akan berlaku pada tahun 2023.

“Prospek ekonomi global malah dilaporkan telah “menjadi gelap dengan ketara” sehingga mendorong unjuran pertumbuhan ekonomi global diturunkan pada 3.6 peratus.

“Dengan demikian Malaysia perlu berada pada kedudukan paling kukuh dan stabil termasuk dalam aspek tadbir urus bagi membentengi negara daripada risiko itu.

“Kemelesetan ekonomi global jika terjadi dan gagal diuruskan dengan berkesan boleh mengundang implikasi besar kepada kemaslahatan rakyat keseluruhannya.”

Sebelum itu, dilaporkan Muhyiddin secara terbuka membidas kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob, yang dilihatnya tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting.

UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker