Michelle Yeoh diiktiraf Festival Filem Cannes

 

LOS ANGELES : Susulan kejayaan di pentas anugerah filem berprestij dunia seperti Anugerah Akademi (Oscar) dan Anugerah Golden Globe, bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 61, bakal mendapat pengiktirafan Festival Filem Cannes.

Yeoh yang meraih tumpuan dunia melalui lakonan dalam filem Everything, Everywhere All at Once (EEAAO) bakal menerima trofi Pelakon Wanita Dalam Filem, iaitu kategori yang diperkenalkan penganjur pada 2015 bagi mengiktiraf sumbangan pelakon.

Trofi itu dijangka disampaikan kepada Yeoh pada acara makan malam yang berlangsung antara 16 hingga 27 Mei depan, atas kerjasama dengan kelab mewah Perancis dikenali sebagai Kering.

Pengiktirafan sama pernah diberi kepada bintang Hollywood tersohor seperti Jane Fonda, Isabelle Huppert, Viola Davis dan Gong Li.

Yeoh yang terharu dengan pengiktirafan itu memberitahu, beliau yakin masa sudah berubah.

“Ini adalah penting untuk wanita sama ada di depan mahupun di belakang tabir memainkan peranan dalam menyampaikan kisah yang dapat memberi refleksi terhadap kepelbagaian dan kerumitan dunia,” katanya, lapor agensi.

Sementara itu, Pengerusi Kering, François-Henri Pinault berkata, Yeoh berjaya memecahkan ‘stereotaip’ dan memberi inspirasi kepada generasi baharu, lapor agensi.

Presiden Festival Filem Cannes, Iris Knobloch pula berkata, Yeoh menjadi contoh yang paling menyerlah apabila berjaya mengubah tanggapan masyarakat terhadap wanita dalam seni dan budaya.

Pengarah festival, Thierry Fremaux menambah, Yeoh yang pernah dilantik selaku juri pada Festival Filem Cannes 2002 adalah individu yang sentiasa mengintai peluang

Yeoh melakar sejarah apabila muncul bintang Asia pertama memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar), bulan lalu.

Melalui watak Evelyn Quah Wang dalam EEAAO, Yeoh meraih kemenangan dalam kategori sama iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker