All England: Zii Jia berdepan Momota di suku akhir

KUALA LUMPUR – Saingan suku akhir Kejohanan All England kali ini menjanjikan aksi perlawanan yang pasti menarik perhatian ramai peminat badminton, apabila pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia akan berdepan dengan pemain nombor dua dunia Kento Momota dari Jepun.

Penyandang juara Zii Jia, mara ke peringkat lapan terakhir selepas menyingkirkan pemain Kanada Brian Yang dengan 26-24, 21-11 pada pusingan kedua di Arena Birmingham pada Khamis (awal Jumaat di Malaysia).

Juara 2019 Momota pula melangkah ke saingan suku akhir dengan menundukkan Heo Kwanghee dari Korea Selatan 21-16, 21-12, yang boleh dikatakan sebagai aksi balas dendam, selepas beliau tewas dalam Sukan Olimpik Tokyo dan Piala Thomas tahun lalu.

“Saya tahu bahawa saya akan berhadapan dengan pemain yang sama, Zi Jia, di gelanggang sama semasa saya tewas tahun lepas, namun saya tidak mahu fikirkan sangat mengenainya, saya akan lakukan yang terbaik,” kata Momota kepada media rasmi All England selepas menamatkan perlawanan.



Pertembungan menarik itu dijadualkan berlangsung pada pukul 5 petang (pukul 1 pagi Sabtu waktu Malaysia).

Dalam 10 pertembungan dengan Momota sebelum ini, Zii Jia hanya pernah menang dua kali dengan kali pertama pada suku akhir All England 2021.

Pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut berjaya melangkah ke peringkat suku akhir selepas menumpaskan pasangan Thailand Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-19, 21-17.

Sementara itu impian beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memenangi gelaran juara BWF Tour buat julung kalinya musnah sekali lagi.



Sinar Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker