Antara fokus Isham Jalil baiki jalan rosak

MASALAH jalan raya rosak akan diselesaikan segera sekiranya Isham Jalil diberi mandat menjadi Ahli Parlimen Shah Alam.

Oleh Rohana Man

 

SHAH ALAM – Walaupun sudah banyak kali aduan dan rungutan disuarakan penduduk bandar raya ini terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT), namun masalah jalan raya yang rosak, merekah dan berlubang masih gagal diselesaikan Kerajaan Negeri Selangor.

Lima belas tahun memerintah selama tiga penggal (2008-2020), bukanlah satu jangka masa singkat.



Sepatutnya banyak pembaikan jalan raya telah dilakukan.

Malah ada jalan raya yang permukaannya tidak rata dan berlubang terutama di jalan taman perumahan, seolah-olah tidak diselenggara dalam tempoh yang lama.

Menyedari masalah tersebut, calon Barisan Nasional (BN) P108 Shah Alam, Isham Jalil berkata, masalah jalan raya merupakan antara perkara yang akan diutamakan untuk diselesaikan dalam kadar segera sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Shah Alam.

Menurutnya, keadaan jalan raya berlubang di banyak tempat menyebabkan penghantar makanan sudah hafal lokasi jalan yang rosak itu.



“Banyak jalan raya rosak, tidak dibaiki dan berlubang sehinggakan motosikal yang ditunggang penghantar makanan ‘melompat-lompat’ sepanjang lalu di jalan raya yang permukaannya tidak rata.

“Malah ada rider GrabFood sudah hafal kat mana lubang itu berada apabila melalui jalan tertentu untuk menghantar makanan,” katanya ketika menyampaikan ceramah umum di Seksyen 7, baru-baru ini.

Beliau hairan kerana setiap tahun, kerajaan negeri mengutip kira-kira RM3 bilion cukai dan ditambah pula dengan bajet daripada Mares (cukai jalan) sebanyak RM500 juta, tetapi keadaan jalan raya tetap tidak berubah.

“Kata negeri maju, tapi jalan raya dan pembangunan tidak seiring dengan perolehan pendapatan kerajaan negeri. Macam mana ni,” soalnya.

Sementara itu, seorang penduduk dari Taman Tadisma, Seksyen 13, Fatimah Ahmad, 65, berkata, masalah jalan rosak dan kereta buruk yang diletakkan di tepi jalan sudah lama disuarakan kepada pihak PBT.

Namun, katanya, aduan yang dibuat seperti tidak dilayan dan kesannya, penduduk terpaksa menanggung risiko kemalangan dan kereta rosak apabila kerap sangat terlanggar lubang terutama pada waktu malam.

“Mana bos MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam)? Tak check ke staf buat kerja atau tidak. Saya tengok mereka buat kerja macam terpaksa. Potong rumput, tapi rumput dilonggok di tepi jalan, tak diangkut untuk dibuang,” katanya.

Selain itu, katanya, longkang juga tidak dibersihkan apabila rumput yang dilonggok ditiup angin masuk ke dalam longkang di tepi jalan.

“Ini antara punca longkang tersumbat. Nasib baik rumah saya di atas bukit, jadi tidaklah ada masalah banjir.

“Cuma, saya kasihan yang rumah mereka di tanah rendah macam dekat stadium.

“Bila hujan terlalu lebat, mesti banjir kilat berlaku,” katanya yang telah menetap di situ sejak tahun 1998.

Fatimah berkata, apabila kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan MBSA tidak disempurnakan, maka setiap kali hari raya, beliau dan penduduk taman akan bergotong royong membersihkan longkang.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker