Messi terus berehat

SAINT-GERMAIN-EN-LAYE: Kapten Argentina yang menang Piala Dunia, Lionel Messi tidak akan bersama Paris Saint-Germain bagi aksi Piala Perancis menentang kelab kerdil, Chateauroux awal pagi esok.

Pemain berusia 35 tahun yang juga pemenang tujuh kali Ballon d’Or itu hanya kembali memulakan latihan di Perancis pada Rabu selepas meraikan kejayaan dimahkotakan selaku juara dunia tiga minggu lalu.

Jurulatih PSG, Christophe Galtier menggambarkan pemain itu boleh beraksi dalam aksi liga seterusnya pada 11 Januari di laman sendiri, Parc des Princes berdepan Angers.

“Kami mahu dia berehat dan menghabiskan masa dengan keluarga, dia pasti tidak bermain esok,” kata Galtier pada sidang akhbar.



“Saya bercakap dengannya dan kami harap dapat membantu dan dia boleh beraksi untuk perlawanan berikutnya,” katanya.

Galtier juga meminta penyokong PSG memberi sambutan hangat buat pemain Argentina itu walaupun memainkan peranan penting dalam menewaskan Perancis dalam final Piala Dunia.

“Ia Lionel Messi dan kami bertuah memilikinya. Jadi saya harap penyokong kami akan meraikan kepulangannya.”

Kelmarin Messi diberikan penghormatan oleh rakan sepasukan di pangkalan latihan kelab.



Kylian Mbappe dan Neymar juga tidak akan beraksi dalam perlawanan pagi esok dengan penyerang Perancis itu sedang bercuti manakala bintang Brazil itu menjalani pemulihan kecederaan pergelangan kaki.

“Kami merancang untuk membenarkan Neymar berehat seketika bagi pemulihan akibat kecederaan pada Piala Dunia dan ia akan dilakukan dalam tempoh ini,” kata Galtier.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker