Majoriti Ketua Bahagian UMNO sokong afidavit Ahmad Zahid

Oleh – Syeikh Baran


Majoriti Ketua Bahagian UMNO sokong afidavit Ahmad Zahid
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

Majoriti Ketua Bahagian UMNO bersetuju dan menyokong afidavit diikrarkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung Titah Adendum dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 mengenai kebenaran melaksanakan baki hukuman Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi tahanan rumah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sokongan itu dizahirkan secara tidak rasmi dalam grup WhatsApp Ketua Bahagian UMNO dan grup WhatsApp MKT UMNO selepas perkara itu dibangkitkan beliau.



“Perkara itu dibangkitkan dalam grup ketua-ketua bahagian, saya yang menularkannya. Semua menyokong. Ketua bahagian ada 191, majoriti beri komen-komen positif atas usaha yang dibuat oleh Presiden UMNO. Dalam grup MKT pun begitu.

“Jadi saya kira UMNO diluar sana menyokong usaha Presiden UMNO membantu semaksimum boleh kepada Najib, bekas Perdana Menteri yang membuat jasa kepada negara dan ditambah lagi apabila Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menyatakan Najib patut dibebas dan dilepaskan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Perladangan dan Komoditi di Kampung Baru di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, ‘Saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Ahmad Zahid.

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.



Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul dalam kenyataan berasingan memaklumkan, beliau akan mendapatkan nasihat undang-undang dan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran memfailkan afidavit bagi memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit yang diikrarkan Ahmad Zahid.

Mengulas perkara berkenaan, Ahmad berkata, beliau sedang menunggu apa yang dimaksudkan oleh Tengku Zafrul.

“Pada pandangan saya Presiden UMNO tentu tahu implikasi afidavit sebab ia perakuan bersumpah, ada cop pesuruhjaya sumpah dan melalui peguam, jadi tentu beliau mengetahui apa yang beliau sebut itu perkara yang benar. Jadi kita berpegang kepada itu,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading