Polis tahan lelaki samun bekas majikan

Oleh – Syeikh Baran


Polis tahan lelaki samun bekas majikan
WAN Azharuddin (dua dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Bekas pekerja sebuah kedai di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun ditahan polis kerana disyaki melakukan kegiatan samun berkumpulan di kedai sama, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suspek berusia 30 tahun yang pernah bekerja di kedai itu ditahan dalam serbuan di kawasan port dadah di Sungai Tiang, Pendang.



Beliau berkata, polis sedang mengesan rakan suspek yang disyaki bersubahat dalam kes sama untuk membantu siasatan.

“Bertindak atas risikan maklumat menerusi Op Cantas, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan IPD Pendang berjaya menahan suspek yang juga lelaki tempatan yang disyaki melakukan aktiviti samun berkumpulan.

“Berdasarkan serbuan itu, polis berjaya menyelesaikan kes samun berkenaan yang dilaporkan kurang 24 jam dan hasil siasatan mendapati suspek adalah bekas pekerja di kedai yang disamun,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda, di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit, sehelai baju T dan topi keledar yang disyaki digunakan sewaktu kejadian.



Beliau berkata, suspek dipercayai positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dua rekod berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan samun berkumpulan,” katanya.

Dalam tangkapan berasingan pada 17 April lalu, Wan Azharuddin berkata, pihaknya menahan seorang lelaki di Kampung Permatang Keramat, Yan kerana disyaki terbabit dengan kes pecah kedai dan rumah di Kuala Muda dan Yan.



Beliau berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam tiga kes pecah kedai dan enam kes pecah rumah di dua daerah itu.

“Setakat ini kita sedang mengesan rakan sejenayah suspek yang dikenali sebagai Mat Burn yang masih bebas.

“Suspek turut positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah dikehendaki, 32 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan 10 rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah.



Sumber – HARIAN METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading