Suspek ragut wanita di Klang ditahan di Langkawi

Oleh – Syeikh Baran


Suspek ragut wanita di Klang ditahan di Langkawi
Gambar Hiasan

Seorang lelaki yang diburu polis berkaitan kes ragut seorang wanita di Klang pada 15 April lalu, berjaya diberkas di Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan polis pelancong Ibu Pejabat Daerah Langkawi di hadapan Medan Selera Penarak, Kuah pada 4.15 petang sebelum dibawa pulang untuk siasatan lanjut.



Beliau berkata, beberapa barang kes turut dirampas dan siasatan awal mendapati suspek warga tempatan itu mempunyai lima rekod lampau berkait jenayah dan dadah.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan semasa melakukan rompakan.

“Pegawai penyiasat juga sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cha berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 20 tahun pada Isnin lalu, mendakwa diragut ketika sedang menunggang motosikal untuk ke tempat kerja.



Beliau berkata, mangsa yang ketika itu berada berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Klang, didatangi suspek yang menunggang motosikal dari arah belakang dan bertindak menarik beg silang pada badan mangsa, menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan di kedua-dua tapak tangan, lutut dan bahu kiri.

Susulan itu, Cha berkata, polis membuka kertas siasatan dan melancarkan gerakan memburu suspek yang membawa kepada tangkapannya di pulau peranginan semalam.

Sumber – HARIAN METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading