Inspektor amang seksual remaja ditahan kerja

Oleh – Syeikh Baran


Inspektor amang seksual remaja ditahan kerja
M. KUMAR ketika ditemui selepas sidang akhbar di IPK Johor hari ini. – Foto oleh BAAZLAN IBRAHIM / KOSMO!

Seorang inspektor polis yang ditahan setelah disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, Isnin lalu akan dikenakan tindakan tahan kerja.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, tindakan tahan kerja itu akan berkuat kuasa selepas mendapat arahan daripada Bukit Aman.



Katanya, tempoh tahan reman terhadap pegawai lelaki berusia 29 tahun itu tamat pada hari ini dan akan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Suspek dalam proses tindakan tahan kerja dan surat tahan kerja akan diedar selepas mendapat arahan dari Bukit Aman.

“Tindakan tahan kerja akan dikenakan sehingga keputusan kes di mahkamah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Rabu lalu, Kumar dilaporkan berkata, lelaki tersebut ditahan di sekitar Seri Alam pada 22 April, selepas laporan polis dibuat mangsa pada hari sama kejadian dipercayai berlaku di kawasan Taman Johor Jaya, di sini.



Katanya, pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian direman bermula Selasa lalu sehingga hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dalam pada itu, Kumar memberitahu, dua anggota polis di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini yang disyaki terlibat kes pemerasan terhadap dua orang awam telah ditahan kerja.

Katanya, sebelum ini, anggota polis berusia 33 dan 34 tahun itu dibenarkan kembali bekerja di bahagian lain di dalam Kontinjen Johor selepas tamat tempoh reman terhadap mereka.



“Kedua-dua anggota yang terlibat kes pemerasan itu telah dikenakan tindakan tahan kerja setelah permohonan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) IPK Johor dibenarkan Bukit Aman,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kedua-dua anggota terbabit ditahan reman bagi membantu siasatan dakwaan telah melakukan peras ugut sebanyak RM1,000 terhadap seorang mangsa lelaki berusia 50 tahun, pada 4 Januari lalu dan dakwaan sama iaitu melakukan peras ugut terhadap seorang mangsa lelaki berusia 29 yang juga bekerja di Singapura pada 2 April lalu.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button