Lelaki Myanmar mati dibunuh akibat perselisihan faham

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki Myanmar mati dibunuh akibat perselisihan faham
Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan tikaman dan pukul di bahagian kepala di kawasan asrama sebuah kilang di Sungai Petan pada malam Rabu.

Perselisihan faham ketika mabuk dipercayai menjadi motif seorang lelaki warga Myanmar mati dibunuh dengan kesan tikaman dan pukulan di bahagian kepala di kawasan asrama sebuah kilang di Sungai Petani dekat sini pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 11.53 malam berhubung kejadian pergaduhan membabitkan beberapa lelaki warga Myanmar.



Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian menemui seorang lelaki warga Myanmar berusia 23 tahun tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah.

“Mangsa ditemui dengan kesan tikaman dan pukulan di bahagian kepala.

“Penolong Pegawai Perubatan yang hadir ke tempat kejadian mengesahkan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia,”katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.



“Buat masa ini, motif punca kejadian akibat mabuk kerana sebelum ini mereka dipercayai minum bersama sebelum berlaku perselisihan dan berlaku pergaduhan,” katanya.

Tambahnya, siasatan turut mendapati seorang lagi lelaki warga Myanmar turut cedera di bahagian pinggang dan kepala kini sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Sehubungan itu, Wan Azharuddin memaklumkan, seorang lelaki Myanmar berusia 40-an ditahan tidak lama kemudiannya dengan bantuan Unit Anjing Pengesan.

Jelasnya, penahanan itu membolehkan pasukan operasi dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kuala Muda dengan bantuan Unit Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan lima lagi rakan senegaranya berusia antara 20-an hingga 40-an.



“Kesemua tangkapan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis sedang mengesan empat lagi suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu yang masih bebas.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button