7 suspek termasuk warga Singapura direman tujuh hari

Oleh – Syeikh Baran


7 suspek termasuk warga Singapura direman tujuh hari
HIDAYATUL (kiri) diiring pegawai polis ketika tiba di IPD Seri Alam, Johor Bahru hari ini bagi mengeluarkan perintah reman terhadap tujuh suspek berhubung serangan Balai Polis Ulu Tiram semalam.

Tujuh suspek termasuk seorang rakyat Singapura yang ditahan berhubung serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi semalam telah direman tujuh hari, bermula hari ini.

Perintah reman terhadap semua suspek yang berusia antara 19 hingga 62 tahun itu dikeluarkan Majistret, Hidayatul Syuhada Samsudin.



Proses berkenaan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, dekat sini dan bukannya di Mahkamah Majistret Johor Bahru seperti biasa dipercayai atas faktor keselamatan.

Antara yang direman termasuklah bapa kepada suspek yang maut ditembak dalam kejadian semalam, serta dua penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Bustaman Menon Abdul Hamid Menon, Sulaiman Zamani dan Muhammad Zahier Rosli yang akan mewakili semua tertuduh, kecuali suspek warga Singapura.



Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, dua anggota polis maut akibat ditetak dan ditembak seorang suspek lelaki yang dipercayai merupakan ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button