Sembilan hari, 20 saksi bicara kes lelaki Israel dua pertuduhan senjata, peluru

Oleh – Syeikh Baran


Sembilan hari, 20 saksi bicara kes lelaki Israel dua pertuduhan senjata, peluru
Avitan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen pada 12 April lalu.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan sembilan hari bermula 30 September ini bagi perbicaraan kes lelaki warga Israel Avitan Shalom atas dua pertuduhan berkaitan senjata api dan peluru.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 30 September, 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober.



Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P.Kunyalam dan peguam Navinjit Singh bersetuju dengan tarikh-tarikh yang dicadang dan ditetapkan.

Semasa prosiding, Mustafa turut memaklumkan seramai 20 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.

“Anggaran saksi yang akan dipanggil seramai 20 orang dan ada kenyataan saksi akan disediakan,” katanya.

Sementara itu berhubung dokumen kes Mustafa memaklumkan sebanyak 17 dokumen kes akan diserahkan kepada pihak pembelaan hari ini.



Terdahulu, Avitan, 38, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.



Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button