Tidak berpelembagaan, hina proses demokrasi – Azmin

Oleh – Syeikh Baran


Tidak berpelembagaan, hina proses demokrasi – Azmin
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan tindakan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah kepada beliau disifatkan adalah tidak berpelembagaan.

Notis tersebut juga secara jelas melanggari perundangan yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang- Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.



Mohamed Azmin berkata, beliau kesal dan amat kecewa apabil diserahkan notis tersebut serta dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi memberikan kenyataan terhadap perkara yang beliau bahaskan di Dewan Negeri.

Ini termasuk berkaitan beberapa isu berkenaan dengan pentadbiran kerajaan negeri secara amnya dan secara khususnya berkenaan pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mana Pengerusi PKNS adalah Menteri Besar Selangor.

“Perkara yang saya bangkitkan dan bahaskan di dalam Dewan Negeri semasa saya menunaikan tanggungjawab dan peranan sebagai salah seorang Ahli Dewan Negeri Selangor dan Ketua Pembangkang.

“Tindakan mengeluarkan notis itu adalah satu percubaan untuk menakut-nakutkan dan memberi tekanan kepada saya dalam menunaikan tanggungjawab dan fungsi saya tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu menjelaskan, peranan utama Ahli-Ahli Dewan Negeri adalah untuk menggubal undang-undang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sehubungan itu, kata beliau, mereka juga dikehendaki untuk membangkitkan dan membahaskan isu-isu berkepentingan rakyat dan negeri.

“Sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, saya juga dipertanggungjawabkan untuk meneliti dan memperhalusi (scrutinise) perjalanan pentadbiran kerajaan negeri dan agensi serta anak-anak syarikat kerajaan negeri sebagai menunaikan kewajipan saya mempertahankan instrumen semak dan imbang.

“Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiada ADUN boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana Mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang diperkatakan olehnya di dalam prosiding di dalam DUN atau apa-apa Jawatankuasa DUN,” ujarnya.



Malah, beliau menegaskan Seksyen 2 Jadual di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 memberikan jaminan berkenaan hak kebebasan bersuara dan perbahasan di dalam mana- mana prosiding di dalam Dewan Negeri Selangor dan hak tersebut tidak boleh dicabar atau dipertikai di dalam mana-mana Mahkamah atau tribunal luar daripada Dewan Negeri Selangor.

“Lebih penting Seksyen 3 Jadual yang sama memperuntukkan tiada ahli boleh dikenakan apa-apa prosiding sivil atau jenayah, ditangkap, dipenjarakan atau dikenakan membayar ganti rugi disebabkan oleh apa-apa perkara atau benda yang mungkin dibawa olehnya melalui petisyen, rang undang-undang, ketetapan, usul atau selainnya atau telah diperkatakan dalam Dewan atau di hadapan mana-mana jawatankuasa,” katanya.

Justeru, Mohamed Azmin mengesa Speaker Dewan Negeri Selangor untuk melindungi prosiding Dewan Negeri Selangor dan mempertahankan hak kebebasan bersuara serta perbahasan di dalam Dewan Negeri Selangor.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya intimidasi yang diarahkan terhadap saya dan lanjutan daripada itu, terhadap kesemua Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor. Ini adalah satu penghinaan kepda proses demokrasi di negara kita,” katanya.



Sumber – KOSMO!ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button