Ibu maut, anak parah kemalangan

Oleh – Syeikh Baran


Ibu maut, anak parah kemalangan
KEADAAN jip Hyundai yang dinaiki mangsa bersama anaknya. FOTO Ihsan Bomba

Seorang wanita warga emas maut manakala anaknya parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda di Jalan Pan Borneo, Kilometer 16, Jalan Papar Baru – Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.41 petang itu, mangsa berusia 64 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala anak perempuannya berusia 43 tahun yang memandu jip Hyundai parah.



Ketua Polis Daerah Papar Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kemalangan membabitkan pacuan empat roda Toyota Hilux dan jip Hyundai.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun memandu dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar melalui Jalan Pan Borneo.

“Pada masa itu, keadaan cuaca hujan lebat dan kenderaan Toyota Hilux hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan jip Hyundai di laluan berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, penumpang kenderaan jip Hyundai, wanita tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.



Menurutnya, mangsa yang parah dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang maut turut dibawa ke HQE Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.

“kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button