Tabung Zara Prihatin kutip RM30,000

KUALA LUMPUR: Aktres, Zara Zya, 35, menerima kutipan hampir RM30,000 menerusi Kempen RM1 Untuk Misi Prihatin COVID-19 bagi membantu petugas barisan hadapan.

Wanita kelahiran Lenggong, Perak itu berbuat demikian atas kapasiti sebagai ikon projek Zara Prihatin #zaraprihatin.

Projek di bawah naungan Pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan dengan kerjasama, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Briged Kesenian APM dilancarkan sejak 20 Mac lalu.

Aktres yang mencetuskan fenomena menerusi drama bersiri, Love You Mr Arrogant dan Pia berkata, sumbangan serendah RM1 untuk Kempen RM1 Untuk Misi Prihatin COVID-19 nyata menarik minat orang ramai menghulurkan sumbangan.



Selain digunakan menyumbang pakaian perlindungan diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan, hasil kutipan turut digunakan membantu insan yang berdepan kesempitan hidup.

“Alhamdulillah, kami menerima sambutan yang menggalakkan apabila melancarkan Kempen RM1 Untuk Misi Prihatin COVID-19 ini. Tabung projek Zara Prihatin ini bukan hanya digunakan menyumbang pakaian PPE kepada petugas barisan hadapan, tetapi disalurkan kepada insan yang memerlukan.

“Seperti salah seorang penerima adalah individu yang lumpuh akibat kemalangan. Dia memerlukan tiup saluran makanan dan pembuangan air kecil. Jadi, kami menggunakan duit tabung Zara Prihatin membeli keperluannya.



“Manakala, kami mencari zon kritikal untuk menghulurkan sumbangan berbentuk makanan. Sebolehnya, kami akan mengelak daripada berlaku pembaziran, memandangkan banyak pihak menghulurkan bantuan makanan. Tabung ini bukan khusus untuk COVID-19, tetapi usaha murni ini akan berterusan,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, entri terbaharu menerusi akaun Instagram (IG), pelakon yang diangkat Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2007) pada 2014 itu meluangkan masa tiga jam bertanya khabar petugas barisan hadapan dan meninjau bilik saringan pesakit COVID-19 yang berada di zon kuning.

Zara turut berkongsi pengalaman melawat Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTe) yang menjadi stesen pusat kuarantin COVID-19 di Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button