66 warga PDRM positif Covid-19

SERAMAI 66 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan positif Covid-19 sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 1,225 warga PDRM sedang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing sehingga semalam.

“Setakat sehingga semalam, 66 warga PDRM disahkan positif Covid-19 dan 1,225 individu pula sedang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

“Jumlah itu (1,225) membabitkan 155 pegawai kanan, 654 pegawai rendah, 35 pegawai awam dan 381 ahli keluarga yang juga kontak rapat,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Acryl Sani berkata, pihaknya sentiasa memastikan anggota bertugas di lapangan mendapat rehat secukupnya bagi memastikan mereka tidak keletihan.

“PDRM menerima bantuan daripada banyak pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selain sukarelawan polis yang digunakan pada tahap maksimum ketika ini.

“Bantuan diterima ini (tenaga sumber manusia) digunakan secara bijaksana bagi mengelak anggota bertugas di lapangan lesu serta letih kerana bertugas tanpa rehat dengan keadaan cuaca panas dan hujan ketika ini.

“Justeru, anggota bertugas ini diberikan pusingan wajar membolehkan mereka bertugas lapan jam setiap hari sekali gus membolehkan mereka mendapat rehat secukupnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, anggota bertugas di lapangan turut perlu berdepan dengan bencana alam seperti ribut.

“Kami sedia maklum dengan beberapa kejadian khemah ranap akibat ribut dan hujan lebat yang berlaku beberapa hari lalu.

“Insiden seumpama itu adalah insiden yang terpaksa dihadapi anggota bertugas di luar sana kerana ia adalah sebahagian daripada ‘mainan’ mereka.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin terhadap isu-isu yang perlu dihadapi anggota di lapangan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker