Tindakan disiplin kerana badminton

AHLI Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dengan bermain badminton bersama tiga rakan akan dikenakan tindakan disiplin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan berkenaan akan diambil selepas polis selesai melakukan siasatan berhubung kes berkenaan.

“Saya sedang minta untuk diambil tindakan disiplin tertentu terhadap Ahli Majlis berkenaan dan MBSA juga sudah keluarkan kenyataan serta menyerahkan kes ini kepada polis.

“Kita tunggu sampai polis selesai (siasatan dan lain-lain) baru kita ambil tindakan,” katanya selepas Program Khidmat Bantuan Belia Siswa Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor di lobi Bangunan SUK Selangor di Shah Alam, Selangor, tadi.

Sebelum ini, seorang Ahli Majlis MBSA dan tiga rakannya ditahan polis kerana melanggar arahan PKP dengan bermain badminton di sebuah dewan MBSA di Seksyen 25 di sini pada awal pagi Jumaat lalu.

Pada Sabtu lalu, Jurucakap khas Op COVID-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, empat individu berkenaan yang ditahan itu akan didakwa mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (langkah-langkah di dalam kawalan tempatan jangkitan 2020).

Selain itu, MBSA dalam satu kenyataan memaklumkan rasa dukacita terhadap insiden berkenaan dan satu surat memohon penjelasan sudah diberikan kepada ahli majlis berkenaan.

MBSA juga menyerahkan satu laporan kepada pihak kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya kerana kedudukan ahli majlis dalam sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah lantikan kerajaan negeri.

Kenyataan itu turut menyebut MBSA tidak akan berkompromi dengan individu, organisasi atau kumpulan termasuk penjawat awam yang melakukan kesalahan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/04/564019/tindakan-disiplin-kerana-badminton

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker