24.6 juta penutup mulut dan hidung diagih semua isi rumah

 

KERAJAAN kini dalam proses mengagihkan 24.6 juta penutup mulut dan hidung kepada semua isi rumah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap isi rumah akan menerima empat penutup mulut dan hidung yang diedarkan oleh petugas barisan hadapan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, bekalan itu bukan sumbangan tetapi dibeli kerajaan untuk kegunaan rakyat.



Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap isi rumah akan menerima empat penutup mulut dan hidung yang diedarkan oleh petugas barisan hadapan dalam tempoh terdekat.

“Seperti diumumkan kerajaan bahawa topeng muka akan diagih secara percuma sebanyak empat keping untuk setiap isi rumah.

“Bekalan topeng akan disalurkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap negeri sebelum diberikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk diedarkan kepada setiap isi rumah,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, bekalan berkenaan akan dihantar menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia, Jumaat ini.

Dalam pada itu, Ismail memaklumkan Tabung Covid-19 terus menerima sumbangan daripada orang ramai dan syarikat korporat yang kini mencecah RM22.66 juta.



Beliau berkata, kerajaan berterima kasih kepada pihak yang turut mewujudkan tabung bantuan bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik ini.

Katanya, pihak yang mewujudkan tabung bantuan diminta untuk mendaftar dengan Kementerian Kewangan bagi memudahkan urusan insentif cukai yang diumumkan sebelum ini.

“Ramai yang prihatin untuk bantu mereka yang memerlukan dan kerajaan cadangkan agar tabung itu didaftarkan dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Ismail berkata, daripada sumbangan Tabung Covid-19, sebanyak RM5.68 juta sudah disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara untuk membeli keperluan harian mereka yang terjejas bagi fasa pertama terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.



Beliau berkata, bagi bantuan fasa kedua, sebanyak RM9.06 juta akan disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta YKN untuk meningkatkan agihan bantuan tabung berkenaan.

https://www.hmetro.com.my/utama/2020/04/563988/246-juta-penutup-mulut-dan-hidung-diagih-semua-isi-rumah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button