10 wira negara terkorban selamat bersemadi

Oleh – Syeikh Baran


10 wira negara terkorban selamat bersemadi
10 kru yang terkorban di lokasi kejadian selamat dikebumikan.

Kesemua 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa lalu selamat disemadikan.

Proses pengebumian dijalankan selepas semua jenazah selesai menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh semalam.



TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengebumian terakhir melibatkan mendiang Leftenan T Sivasutan, 31, pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

Terdahulu, upacara sembahyang telah dilaksanakan bermula pukul 9 pagi di rumah waris mendiang di Sitiawan, Perak sebelum jenazah dibawa ke Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram diiringi anggota kawalan TLDM untuk penghormatan terakhir.

Dalam kenyataan sama, TLDM berkata, penghormatan terakhir kepada mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna, 26, turut diberikan ketika upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkaroh, Serian, Sarawak pada pukul 11.33 pagi hari ini.

“Pengibaran bendera separuh tiang telah dilaksanakan sejak 24 April dan tamat sejurus upacara pengebumian terakhir pada hari ini selesai.



“TLDM sekali lagi mengucapkan salam takziah kepada keluarga 10 wira TLDM yang terlibat dalam tragedi ini.

“Pemergian mereka amat dirasai oleh seluruh warga TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan kedua-dua pesawat jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM itu berlepas dari Padang Sitiawan, Perak pada pukul 9.03 pagi kelmarin, bagi menjalani raptai bersempena sambutan Ulang Tahun Perbarisan TLDM ke-90.

Kedua-duanya kemudian dilapor bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.



Susulan pertembungan itu, pesawat HOM dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

TLDM mengesahkan bahawa, 10 kru terbabit terkorban di lokasi kejadian.

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading