FELDA BERTUKAR PENGERUSI 2 KALI DALAM TEMPOH KURANG 2 TAHUN – WUJUD KONFLIK DALAMAN ANTARA PENGERUSI DAN PENGARAH BESAR?
Bagaimana FELDA Mampu Efisien Bantu Peneroka Jika Acap Tukar Pengerusi?
Felda menyaksikan pertukaran Pengerusi Felda yang agak luarbiasa dalam tempoh 2 tahun sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya selepas 8 Mei 2018. Tan Sri Shahrir Samad merupakan Pengerusi Felda sebelum lantikan baru dibuat pada 27 Julai 2018 di mana Tan Sri Megat Zaharuddin dipilih menggepalai Felda. Bagaimanapun Megat Zaharuddin meletak jawatan dalam tempoh setahun selepas dilantik. Tempat beliau digantikan oleh Tan Sri Bakke Salleh yang diberikan mandat selama 2 tahun bermula 26 Jun 2019 hingga Jun 2021. Sekali lagi Pengerusi Felda itu dikatakan akan meletakkan jawatannya selewatnya Jun 2020 namun sehingga hari ini masih belum dapat apa-apa pengesahan walau sudah ada ura-ura dan nama penggantinya kelak. Apa sudah jadi kepada jawatan Pengerusi Felda?
Timbul khabar angin menyatakan peletakkan jawatan Megat Zaharuddin ada kaitan dengan Pengarah Besar Felda yang dilantik Menteri Ekonomi ketika itu (Azmin Ali) yang dikatakan turut membawa masuk beberapa muka baru sebagai Pengarah dan menerima imbuhan agak lumayan dalam jawatan tertentu di Felda. Malah latar belakang Pengarah Besar Felda dan pemahaman beliau dalam isu Felda amatlah diragui kerana langsung tiada kena mengena dengan struktur Felda yang berteraskan pada tanaman komoditi utama negara. Malah individu yang dibawa masuk oleh Felda juga diragui kemampuan mereka dalam mentadbir satu organisasi besar seperti Felda yang bukan hanya mengejar keuntungan semata-mata dan kebajikan peneroka Felda tidak diambil peduli. Benarkah ada lantikan ‘Konsultan’ dalam Felda bagi mengkaji projek projek melibatkan kepentingan peneroka Felda? Benarkah dalam Felda kuasa Pengarah Besar melebihi kuasa Ahli Lembaga Pengarah? Sebagai rujukan siapa yang mahu Chef Wan dilantik sebagai ‘Ikon Felda’ di mana kemudiannya Ikon Felda telah mengecam peneroka Felda sebagai ‘Kucing Yang Hanya Tahu Beranak’? Kecaman ‘Ikon Felda’ itu menerima kecaman dari pelbagai peringkat Felda dari peneroka hinggalah generasi kedua Felda.
Berbalik kisah peletakkan jawatan Megat Zaharuddin sebelum sempat memulihkan Felda sebagaimana dijanjikan Pakatan Harapan. Mengapa beliau meletakkan jawatan jika kerjasama dari semua pihak dalam keadaan baik? Agak musykil dengan alasan ‘Faktor Kesihatan’ yang diberikan. Adakah ada sesuatu yang cuba disembunyikan dari pengetahuan semua? Mungkin Tan Sri Bakke Salleh juga mengalami perkara sama seperti apa yang dialami Tan Sri Megat Zaharuddin sebelum ini. Jika dilihat rekod Bakke, beliau sangat cemerlang menerajui Sime Darby sebelum berpindah ke Felda. Mustahil seorang yang ada latar belakang perladangan tidak tahu apa keperluan dan kemahuan bagi memulihkan Felda yang juga berasaskan sektor perladangan mahu menyerah kalah begitu sahaja jika tiada rintangan dari dalam? Siapa rintangan itu? Mungkin sekarang waktu terbaik bagi semua rintangan dalam Felda dikeluarkan bagi membaikpulih keadaan dibawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Baca – Apa Solusi Pengarah Besar Felda Untuk Peneroka Felda Hadapi PKP?
Pandemik Covid-19 merupakan antara cabaran terbesar buat seluruh warga Felda serta peneroka yang bergantung hasil kepada pengeluaran hasil ladang. Mengejutkan sekali apabila sepucuk surat arahan pemangguhan bayaran kepada peneroka dikeluarkan Jabatan Kewangan Felda namun Menteri Kanan, Dato Seri Ismail Sabri bertindak dengan mengarahkan tiada penangguhan bayaran kepada peneroka Felda dibuat dalam menghadapi Covid-19. Siapa yang mengarahkan Jab. Kewangan Felda mengeluarkan surat penangguhan bayaran? Sudah pasti ada arahan tertentu yang dikeluarkan oleh seseorang yang berjawatan tinggi dalam Felda. Siapa? Lebih memburukkan keadaan, ramai kalangan peneroka mengeluh tiada bantuan daripada FELDA dalam tempoh PKP namun mereka (peneroka) tetap bersyukur kerajaan membantu sepertimana diumumkan. Ada juga persoalan mengapa FGV, yang sering melaksanakan CSR tetapi tidak sampai kepada peneroka Felda. Adakah ada sekatan dari pihak tertentu terhadap FGV untuk menyampaikan bantuan bahan asas makanan kepada peneroka Felda?
Dalam artikel sebelum ini dilampirkan satu NGO Felda dikenali sebagai GENERASI telah menaikmuat satu video dan seorang individu menyatakan bantuan akan disalurkan kepada semua peneroka secara berperingkat. Ini sudah tentu akan menggembirakan peneroka Felda seluruhnya dan mereka menaruh harapan agar GENERASI dapat menyalurkan bantuan dijanjikan.
Siapapun yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Felda yang baru perlu melihat kepada birokrasi dalaman dan tangani perkara tersebut dengan baik. Mendukung amanah untuk memulihkan Felda bukan mudah tetapi jika segala kerjasama pelbagai peringkat digembelengkan sudah pasti Felda akan kembali gagah seperti sebelum ini. Sebaiknya mereka yang tidak tahu selok belok dan ERTI FELDA itu sendiri dikeluarkan dari jawatan lantikan yang hanya membazirkan wang membayar imbuhan buat mereka.