Samseng sungguh maki, tampar polis…

LELAKI ditahan reman empat hari selepas didakwa mencederakan seorang anggota polis ketika operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ)-Malim Jaya, Melaka, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 55 tahun itu ditahan selepas didakwa menampar serta memaki anggota polis terbabit ketika operasi dijalankan bersama beberapa anggota tentera itu.

Beliau berkata, dalam kejadian 1.30 tengah hari semalam, keadaan trafik di kawasan itu sesak menyebabkan suspek yang memandu kereta Proton Iswara Aeroback bersendirian bertindak menggunakan laluan kecemasan.

“Selepas menyedari perbuatan lelaki berkenaan, anggota polis terbabit menahan kereta itu dan mengarahkannya supaya kembali ke laluan utama.



“Bagaimanapun, suspek tidak berpuas hati dengan arahan itu lalu menghambur kata-kata kesat sebelum anggota polis berkenaan mengarahkan kereta suspek ke tepi jalan dan memanggil rakan sekerja untuk menguruskan suspek.

“Ketika anggota polis itu berpaling untuk bercakap dengan suspek yang pada ketika itu berada di sebelahnya, lelaki terbabit menampar bahagian kiri mukanya.

“Susulan itu, anggota terbabit terus menahan suspek sebelum dibawa ke Balai Polis Malim untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, selain Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button