Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Walaupun kita menghadapi pelbagai ketidakselesaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun majoriti rakyat memang bersetuju bahawa PKP merupakan cara terbaik serta paling efektif bagi memutuskan rantaian penularan virus Covid-19 ketika ini.

Rumusan pendapat orang ramai itu dibuat berdasarkan pemerhatian kepada ciapan-ciapan netizen di pelbagai media sosial, memandangkan penggunaan internet telah bertambah berkali ganda sebaik PKP bermula.

Rakyat memahami bahawa ini adalah waktu luar biasa yang perlu ditangani dengan kaedah luar biasa daripada pihak kerajaan, justeru bersedia bertahan dan tidak sanggup melihat lebih banyak nyawa terkorban.

Kita berasa bimbang dan takut dengan pandemik yang tidak terkawal atau kes-kes positif jangkitan yang meningkat secara mendadak di luar negara. Walaupun dua peringkat PKP yang dilaksanakan belum dapat menghentikan penularan pandemik ini di Malaysia, kita dapati ia adalah terkawal.



Usaha dan kerja keras pelbagai agensi kerajaan serta sokongan pelbagai lapisan masyarakat yang bersatu padu dalam menghadapi waktu-waktu sukar ini, amat dihargai.

Rakyat berterima kasih kepada setiap individu yang bertugas di barisan hadapan, dari bidang perubatan dan penjagaan, tentera dan polis, hingga media, tukang cuci, penghantar barangan dan sebagainya. Pengorbanan mereka yang tetap bekerja keras walaupun terdedah kepada risiko tinggi serta terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga amat disanjung tinggi.

Mengikut statistik dari pihak tentera dan polis, walaupun masih terdapat mereka yang ingkar, namun lebih 98% rakyat mematuhi arahan dan peraturan kerajaan, ini menunjukkan tahap kesedaran orang ramai terhadap keselamatan diri dan negara amat memberangsangkan.

Dasar dan kaedah kerajaan juga mendapat sokongan kebanyakan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, menunjukkan keselamatan negara dan rakyat memang mengatasi kepentingan politik peribadi.



Walaupun masih terdapat ahli-ahli politik yang cuba mendapatkan publisiti murah dengan memfitnah serta memperlekehkan usaha-usaha kerajaan, ia tidak memberikan apa-apa kesan kepada komitmen kerajaan.

Kita bangga melihat orang ramai semakin matang menggunakan media sosial, dan semakin ramai yang melaporkan berita palsu kepada pihak berwajib atau menolak informasi dari sumber yang tidak sahih. Semua ini merupakan perkembangan positif yang patut digalakkan.

-MCA online-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button