Sidang DUN Kelantan hanya berlangsung 45 minit

KOTA BHARU, 13 April — Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang diadakan hari ini hanya berlangsung selama 45 minit berikutan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memasuki dewan mereka turut memeriksa suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah berjaga-jaga.

Persidangan yang bermula pukul 9 pagi itu tidak dihadiri jemputan luar dan kesemua ADUN hadir melainkan ADUN Ayer Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana jadualnya bertembung dengan program yang tidak dapat dielakkan.

Dalam persidangan yang cukup ringkas berkenaan, Dewan sempat meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Taman Negara pindaan 1938 dan RUU Kerabat Bergelar dan Datuk Bergelar.



Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub ketika memulakan persidangan dewan memaklumkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan titah pembukaan persidangan DUN baginda dibacakan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Abdullah berkata soalan yang dikemukakan oleh ADUN semasa persidangan berkenaan akan dijawab pada persidangan akan datang bagi mengelakkan tempoh persidangan hari ini berlangsung dalam tempoh yang lebih lama.

DUN Kelantan sepatutnya berlangsung pada 23 hingga 26 Mac, namun disebabkan wabak COVID-19 pihaknya menangguhkan persidangan itu pada hari ini.

“Persidangan hari ini kita terpaksa adakan walaupun dalam tempoh PKP, sebab persidangan ini wajib kena ada enam bulan sekali. Tempoh kita akan berakhir pada 16 April nanti, jadi kalau kita tidak adakan pada hari ini kemungkinan kita akan terdedah kepada risiko komplikasi undang-undang.



“Kita adakan persidangan hari ini juga mengikut saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan melaksanakan jarak sosial tempat duduk kerusi melebihi satu meter antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan DUN di sini, hari ini.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button