Tindakan Zahid Saluran Betul, Tidak Timbul Campurtangan Berlebihan – Ir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 19 April – Permintaan seperti itu adalah perkara biasa melibatkan parti-parti yang bekerjasama untuk terus berhubung dan berkomunikasi agar dapat sama-sama mentadbir negara ini secara adil, saksama dan lurus seperti pedang.

Malah ianya dilakukan melalui saluran yang betul dan terhormat agar pemimpin nombor satu negara itu dapat memberikan pertimbangan sewajarnya tanpa paksaan dan tekanan.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain mengenai kenyataan pemimpin PPBM yang membuat dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai campur tangan secara berlebihan dalam urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau tuduhan berkenaan sama sekali tidak berasas dan malangnya perkara yang dilakukan secara tertutup dan profesional itu dieksploitasikan oleh segelintir pemimpin PPBM untuk mengaut keuntungan politik yang sama sekali tidak menguntungkan mana-mana pihak tatkala rakyat Malaysia sedang gusar berhadapan dengan wabak pembunuh, COVID-19.

“Kenyataan yang dibuat oleh pemimpin PPBM itu menggambarkan kekeliruan mereka untuk menggarap maksud Kerajaan PERIKATAN NASIONAL yang terbina atas sokongan dan dokongan daripada pelbagai parti termasuklah UMNO sebagai parti terbesar dalam perikatan.

“Ironinya, Zahid sebagai presiden parti UMNO tidak pernah meminta sebarang jawatan dalam kabinet sehingga kesnya di mahkamah selesai dan ini merupakan bukti jelas bahawa UMNO tidak tamak dan gila kuasa seperti tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin PPBM tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hakikatnya tambah Ir Abdul Aziz, Zahid hanya melaksanakan amanah sebagai presiden parti untuk menyampaikan kebimbangan para pemimpin UMNO Sabah dan kebimbangan itu disuarakan dengan penuh hemah dan profesional dan bukannya dilakukan secara terbuka atau pun paksaan.

“Benar, pelantikan jawatan ini adalah hak prerogatif perdana menteri. Namun, keprerogatifan ini berasaskan sokongan parti-parti politik lain yang percaya beliau akan berlaku adil, saksama dan lurus seperti lurusnya garisan pedang.

“Kami akan terus menilai keikhlasan perdana menteri untuk bersama-sama mentadbir negara ini khususnya di Sabah. Sebagai parti terbesar di negeri ini, maka sewajarnya Perdana Menteri menunjukkan kebijaksanaan dengan mempertimbangkan permintaan pemimpin-pemimpin Sabah.

“Kepada pemimpin PPBM, saya menyeru kepada anda semua agar belajar untuk menghormati kerahsiaan dan bersikap lebih profesional. Janganlah menggunakan kesempatan dalam kesempitan untuk menangguk di air keruh. Ianya tidak menguntungkan sama sekali,” ujarnya.

Tegas beliau hentikan sebarang kenyataan-kenyataan tidak matang yang boleh mengganggu-gugat kestabilan politik negara, yang sedang kita nikmati ini.- UMNO ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker