Abu Bakar Fadzim masih dahagakan koleksi kejuaraan

KUALA LUMPUR, 20 April  — Setiap jurulatih tidak kira daripada cabang sukan mana sekalipun pastinya mendambakan deretan koleksi kejuaraan di peringkat tertinggi.

Ia bukan sahaja sebagai menyempurnakan tuntutan dalam karier kejurulatihan, malah kejayaan demi kejayaan dilakar dapat mengukuhkan ‘saham’ seseorang jurulatih itu selain menjamin kedudukannya selaku ‘pembimbing’ kepada seseorang atlet atau sesebuah pasukan untuk tempoh lebih lama.

Begitulah impian dan matlamat Abu Bakar Fadzim selaku pengendali pasukan bola sepak Perak II.

Selepas berjaya menjuarai hampir kesemua pertandingan bola sepak domestik di peringkat Bawah 19 Tahun (B-19) dan Bawah 21 Tahun (B-21), Abu Bakar kini mengintai peluang merangkul kejuaraan pertamanya dalam saingan tertinggi bola sepak tempatan, Liga Malaysia (Liga-M).



Penampilan pertamanya sebagai jurulatih dalam kancah Liga-M adalah pada musim 2014 bersama pasukan Perak yang menyaksikan skuad ‘The Bos Gaurus’ menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan kesembilan berikutan cabaran hebat dihadapinya dalam menyesuaikan diri ketika itu.

Namun, Abu Bakar akhirnya berjaya membuktikan kemampuannya dengan membawa PKNP FC sehingga beraksi di Liga Super selepas membimbing pasukan yang berpangkalan di Manjung itu muncul naib juara Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2016 dan naib juara Liga Premier 2017.

 

BERDIRI SEBARIS NAMA-NAMA BESAR JURULATIH TEMPATAN



 

Pengendali berusia 48 tahun itu mengakui masih belum puas, serta memiliki impian besar untuk berada setanding dengan beberapa nama besar jurulatih tempatan antaranya Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan B. Sathianathan yang telah mengecapi pelbagai kejuaraan berprestij.

Bercakap kepada Bernama, Abu Bakar berkata perjalanan karier dan pencapaian diraih ketiga-tiga jurulatih berpengalaman itu menjadi pemangkin semangat untuk beliau terus bekerja keras dalam usaha menjadi seorang jurulatih berprofil tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata keseimbangan antara pemain muda dan senior dalam pasukan selain bajet pasukan yang mencukupi adalah elemen utama diperlukan seseorang jurulatih bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap.



“Selepas kejayaan di peringkat bawah umur, semestinya saya mahu mempunyai perjalanan karier sama seperti jurulatih Dollah, Zainal dan Sathianathan yang mencapai pelbagai kejuaraan domestik terutamanya Piala Malaysia. Saya ingin ke arah itu untuk menambah koleksi peribadi saya.

“Meskipun cabaran lebih hebat, kita tidak boleh putus asa kerana dalam mengejar impian, ada kalanya kita berdepan kesukaran. Liga-M ialah soal mengetengahkan bakat muda dan pada masa sama memerlukan keseimbangan daripada pemain senior dan di situ juga bajet pasukan memainkan peranan penting,” jelasnya.

 

RAGAM PEMAIN



 

Menurut Abu Bakar, sepanjang 16 tahun bergelar jurulatih beliau mendapati sesetengah pemain muda berbakat tidak mempunyai pendirian dan matlamat yang jelas sebagai pemain bola sepak manakala barisan pemain senior yang mempunyai ‘nama’ memainkan pengaruh besar dalam pasukan.

Katanya, pemain muda perlu lebih berani merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan dan membuktikan kemampuan sebenar mereka beraksi di tahap tertinggi jika ingin kekal relevan dalam kancah Liga-M seperti dilakukan Muhammad Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin dan Norshahrul Idlan Talaha.

“Mereka (pemain muda) harus pandai bawa diri kerana pembawakan diri serta pergaulan mereka akan mempengaruhi sejauh mana mereka mampu pergi. Mereka juga perlu ingat bahawa tanda harga dan tawaran gaji akan datang bersama-sama pencapaian dan prestasi mereka.



“Saya bangga Liga-M ada pemain berstatus senior yang masih bertahan dan bermain seperti Shukor, Indra dan Matyo (Norshahrul). Mereka ini antara pemain berpengaruh kuat dalam pasukan dan mana-mana pasukan perlukan pemain senior seperti mereka.

“Pemain muda harus jadikan mereka ini sebagai contoh untuk kekal bertahan lebih lama dalam karier bola sepak,” katanya.

 

‘EKI’ PEMAIN PALING DIPERCAYAI



 

Dalam pada itu, bintang pasukan Perak dan skuad kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi muncul antara pemain yang mencipta nama dalam kancah bola sepak tanah air ketika berada di bawah bimbingan Abu Bakar bersama PKNP FC.

Sepanjang bersama Abu Bakar, peningkatan prestasi penyerang berusia 25 tahun itu menyaksikan beliau berjaya membuat penampilan pertama bersama skuad Harimau Malaya selain menarik perhatian kelab liga utama Thailand, Nakhon Ratchasima FC untuk dipinjamkan ke pasukan itu.

Mengimbas kembali perjalanan bersama Muhammad Shahrel Fikri yang dikenali sebagai ‘Eki’, Abu Bakar yang merupakan bekas pemain Perak berkata disebabkan sifat tanggungjawab yang dimiliki pemain itu menyebabkan beliau tidak teragak-agak melantiknya sebagai ketua pasukan.

“Ketika di PKNP kami sama-sama dahagakan kejayaan dan perjalanan saya bersama beliau bermula selepas beliau digugurkan daripada skuad Harimau Muda kerana mempunyai masalah injap jantung bocor. Tiga tahun bersamanya memang pelbagai liku kami harungi bersama.

“Tetapi beliau pemain paling saya percaya kerana personaliti dan kemahuan yang ada dalam dirinya. Saya juga berikan beliau tanggungjawab yang lebih daripada pemain lain iaitu menjadi ketua pasukan kerana saya tahu kewibawaannya selain ingin beliau menjadi lebih bertanggungjawab,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button