Jetstar Asia sedia penerbangan sementara ke KL, Manila dan Bangkok mulai 21 April

SINGAPURA, 20 April — Jetstar Asia yang berpangkalan di Singapura akan menyediakan penerbangan pergi-balik lima kali seminggu ke tiga destinasi di Asia Tenggara – Kuala Lumpur, Bangkok, dan Manila – dengan tujuan untuk mewujudkan rangkaian perjalanan penting dan membantu penghantaran barang di rantau ini mulai 21 April.

Syarikat penerbangan itu berkata maksima sebanyak 112 tempat duduk tersedia pada setiap penerbangan, kira-kira 60 peratus daripada kapasitinya untuk penjarakan yang selamat pada sepanjang tempoh langkah pemutus litar oleh kerajaan Singapura.

“Perkhidmatan ini hanya tersedia untuk warganegara dan penduduk tetap yang pulang ke rumah, atau mereka yang mempunyai kelulusan bertulis untuk melakukan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelanggan boleh membuat tempahan di www.jetstar.com atau melalui ejen pelancongan dan rakan niaganya.



Ketika ini, semua perkhidmatan berjadual Jetstar Asia ditangguhkan sementara sehingga 19 Mei, 2020 kerana sekatan sempadan di rantau ini dan langkah pemutus litar yang lebih ketat.

Sebelum penangguhan itu, Jetstar Asia mengendalikan lebih dari 600 penerbangan pergi-balik secara mingguan ke 24 destinasi di 13 negara dan wilayah di rantau Asia Pasifik dari Singapura.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button