Pemuda UMNO Johor Sambut Baik Inisiatif Terbaru Kerajaan Negeri

KUALA LUMPUR, 20 April – Pemuda UMNO Johor menyambut baik inisiatif terbaru Kerajaan negeri itu yang akan memberikan bantuan tunai antara RM250 dan RM500 kepada rakyat yang bukan tergolong sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dalam berhadapan kesan pandemik COVID-19.

Ketuanya Mohd Hairi Mad Shah berkata inisiatif tersebut disifatkan sebagai murni serta terpuji dan ini pastinya akan menggembirakan mereka yang tidak layak menerima BSH dan BPN yang turut meliputi golongan M40.

“Jika ada menyatakan individu yang tidak menerima BSH dan BPN tidak ada masalah sebab dalam kalangan mereka bergaji besar, tetapi hakikatnya mereka juga memerlukan bantuan. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, bukan kata penduduk di kampung, Felda, B40, M40 malah semua rakyat terjejas.

“Jadi, adalah perlu untuk Kerajaan negeri Johor membantu semua rakyat yang terjejas. Inisiatif terbaru kerajaan negeri Johor ini pastinya akan membuka ruang kepada golongan yang tidak menerima BSH dan BPN untuk mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri,” katanya menerusi catatan di facebook.



Katanya lagi, menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba, bantuan itu pastinya akan membantu mereka yang berkenaan untuk membeli barangan keperluan harian sepanjang bulan Ramadan.

“Kepada mereka yang memerlukan bantuan, jangan malu dan segan, buatlah permohonan, jika layak anda pasti menerimanya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain beliau turut menyambut baik pemberian geran galakan sebanyak RM200 seorang sebagai menjaga kebajikan golongan peniaga kecil seperti pengusaha Bazar Ramadan.

“Manfaatkan geran galakan itu dengan baik bagi memastikan mereka berupaya memasarkan produk secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.



“Pemuda UMNO negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang cukup cakna dengan kebajikan rakyat ketika negara dilanda wabak sekali gus membuktikan ‘no one left behind’,” tambahnya. – UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button