COVID-19: Jangan Leka Dengan Penurunan – Sharkar
TEMERLOH, 21 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Mohd Sharkar Shamsudin berkata, walaupun penularan wabak COVID-19 mula menunjukkan penurunan namun itu bukan bermaksud kejayaan sudah dicapai.
Jelas beliau, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dan tindakan serta kawalan mesti diteruskan bagi memastikan penularan wabak ini dapat dibanteras.
“Kita tidak boleh leka. Teruskan duduk di rumah dan patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
“Seluruh rakyat perlu sedar kesepakatan tunjang kekuatan umat manakala perpecahan dan perbalahan menatijahkan kerugian dan kerosakan. Ambil contoh kisah Perang Uhud antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy.
“Akibat terpesona dengan bayangan kejayaan menghalau musuh musyrikin Mekah dari medan Uhud dan perasaan geram melihat kawan-kawan mengutip harta rampasan menyebabkan pasukan memanah melanggar arahan Nabi Muhammad dan akibat perpecahan dan ketidaksepakatan yang berlaku hanya dalam satu pasukan kecil sahaja daripada keseluruhan tentera Islam pada waktu itu, kesannya menyaksikan 70 syuhada gugur dan baginda Rasulullah SAW sendiri cedera,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Sharkar, ini membuktikan perpecahan dan perbalahan tidak akan menatijahkan apa-apa hasil melainkan kesan yang buruk dan merosakkan.
“Ketidaksepakatan hanya akan membuahkan kerugian dan kehilangan yang nyata, itulah yang berlaku dalam Perang Uhud.
“Dalam situasi kita sekarang, jangan kita gembira kes jangkitan COVID-19 mula berkurang. Kita belum berjaya memutuskan rantaian wabak.
“Jangan disebabkan kealpaan dan ketidaksepakatan antara kita, ia mengundang melapetaka yang lebih buruk daripada sebelum ini,” tegas beliau.
Justeru, Sharkar menyeru semua pihak agar terus mematuhi arahan kerajaan kerana rantaian COVID-19 masih belum berjaya diputuskan.
“Jangan kita pentingkan diri sendiri, duduk di rumah, bersabar atas dugaan yang berlaku ini. Kita perlu menang sepenuhnya melawan COVID-19,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE