COVID-19: KKM bincang pelan mitigasi pasca PKP

PUTRAJAYA, 20 April — Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti pelan mitigasi bagi memastikan rantaian COVID-19 diputuskan selepas Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelan mitigasi itu turut melibatkan perubahan dasar yang menggariskan amalan kebiasaan baharu.

“Kita sedang melihat dasar pemisah (selepas tamat PKP). Kami sedang merancang dan mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan kesan daripada situasi itu.

“Dasar kita perlu diubah dari segi perhimpunan awam, penjarakan sosial dan sentiasa mengingatkan orang ramai untuk mencuci tangan. Yang paling penting, berada di rumah jika tiada urusan di luar,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 hari ini.



Dr Noor Hisham berkata pendekatan untuk mengurangkan kesan akan diguna pakai bagi membincangkan pelan tersebut dan ini mungkin memakan masa tiga sehingga enam bulan.

Katanya selagi tiada vaksin di pasaran, orang ramai perlu mementingkan kaedah kesihatan awam iaitu pencegahan lebih baik daripada rawatan selain mengamalkan kebiasaan baharu.

Dalam pada itu, beliau mengakui perkembangan positif dari sudut jumlah kes harian yang semakin menurun adalah kerana pelaksanaan perancangan awal yang rapi.

“Kejayaan hari ini adalah hasil daripada barisan hadapan dan perancangan yang rapi. Bagaimana kita dapat laksanakan perancangan dengan tepat dan cepat.



“Hasil hari ini adalah hasil kita dua minggu hingga empat minggu lalu. Apa yang pasti, apa yang kita rancang hari ini, kita akan dapat nampak hasilnya dalam dua minggu lagi,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk terus memberi kerjasama kepada barisan hadapan memandangkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menjangkakan dunia akan ‘berperang’ dengan wabak ini sehingga tahun hadapan.

“WHO jangka kita terpaksa berperang sehingga tahun depan. Jadi masalah sekarang ini bagaimana nak rancang strategi hingga tahun depan,” katanya.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button