PKP: Parti liar menjadi-jadi

SERAMAI 20 individu, termasuk remaja ditahan kerana mengadakan parti liar sekali gus mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah apartmen dan dua inap desa sekitar bandar raya ini dan Masai, Johor Bahru, antara Sabtu hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay,berkata Polis Johor mengadakan tiga serbuan hasil maklumat awam dan risikannya sebelum menahan kesemua 20 individu berkenaan yang leka berparti.

Katanya, serbuan pertama dilakukan di sebuah inap desa di Masai kira-kira jam 11.30 Sabtu lalu.

Beliau berkata, hasilnya polis berjaya menahan empat lelaki berusia lingkungan 27 tahun yang sedang berparti dan melanggar perintah PKP selain gagal memberikan alasan munasabah berkumpul di situ.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka negatif dadah menerusi saringan air kencing selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Serbuan kedua dilakukan di sebuah apartmen di bandar raya ini kira-kira jam 1 pagi semalam sebelum menahan 7 individu termasuk dua perempuan berusia antara 21 hingga 26 tahun.

“Siasatan lanjut menemui 0.50 gram dadah jenis ketamin dengan enam daripada mereka positif dadah malah dua suspek perempuan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ayob Khan berkata, serbuan ketiga pula dilakukan di sebuah inap desa di Tanjung Puteri kira-kira jam 1 pagi tadi.

Katanya, dalam serbuan itu polis menahan sembilan suspek termasuk tiga wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lima suspek lelaki positif dadah manakala masing-masing seorang suspek lelaki dan wanita mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, ” katanya.

Beliau berkata, kesemua 20 suspek berkenaan akan ditahan reman dan disiasat mengikut Peraturan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana ingkar PKP.

Katanya, bagi suspek yang positif dadah dan memiliki dadah pula akan turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a)Akta Dadah Berbahaya 1952.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker