‘Suami tetap puji saya cantik’

“JIKA saya merujuk kepada pakar, pastinya saya perlu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan yang sudah tentu memerlukan saya berhadapan dengan lebih ramai orang dan saya tidak mahu ia berlaku,” kata Nor Sahira Dalim, 27.

Nor Sahira tular di media sosial beberapa hari kebelakangan ini selepas ibu kepada tiga cahaya mata ini berkongsi perubahan pada wajahnya sewaktu mengandung.

Menurut Nor Sahira, perubahan itu dikesan sewaktu awal kehamilan anak ketiganya pertengahan tahun lalu apabila mukanya mula berubah sedikit demi sedikit sehingga ke satu tahap, ada rakan yang sukar untuk mengenalinya.

Mengakui malu dengan keadaan wajah yang umpama jauh lebih tua berbanding usia, Nor Sahira menjelaskan, keadaan itu pernah diajukan kepada doktor yang memeriksa kandungannya setiap bulan.



“Doktor kata tiada keperluan untuk jumpa pakar jika saya tidak sakit tetapi semuanya terpulang kepada saya dan saya sendiri memang tidak mahu kerana akan lebih ramai orang lihat wajah saya apabila hadir ke temu janji dengan pakar nanti.

“Ketika itu, muka saya bukan saja mengembang dan berkedut malah kulit menjadi keras dan menggerutu. Saya anggap ia sebagai alahan mengandung yang mungkin berbeza berbanding kehamilan dua anak sebelum ini.

“Siapa sangka, di sebalik dugaan ini, saya dipermudahkan bersalin, malah masih mampu bergurau dan tidak rasa sakit ketika bukaan (untuk bersalin) sudah mencecah enam sentimeter,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Bercerita lanjut, Nor Sahira berkata, walaupun doktor menjangka bayi yang dikandung perempuan berdasarkan tiga kali imbasan yang dibuat sepanjang kehamilan, nalurinya mengatakan bayi itu lelaki.



“Orang lain pun anggap perubahan pada wajah saya kononnya disebabkan bayi perempuan dalam perut ambil seri ibu, malah tidak kurang juga yang mengaitkan bentuk perut saya sebagai sedang mengandungkan bayi perempuan.

“Saya tidak kisah lelaki atau perempuan tetapi apabila yang keluarnya adalah lelaki, mestilah gembira kerana anak sulung dan kedua adalah perempuan,” katanya.

Nor Sahira berkata, dalam berdepan ujian itu, dia tetap bersyukur kerana dikurniakan suami yang sentiasa di sisi meskipun pernah merasakan tidak sepadan dengan suami sendiri sepanjang tempoh wajahnya berubah.

Kata suri rumah sepenuh masa ini, suaminya tidak jemu memberikan semangat, malah tetap memujinya cantik walaupun pujian itu bagi Nor Sahira mungkin sekadar untuk menjaga perasaannya.



“Saya akui seakan hilang motivasi apabila lihat wajah sendiri menyebabkan saya sebolehnya mengelak untuk tengok cermin sepanjang kehamilan kali ini.

“Apa lagi ada yang pernah berkata mujur suami masih setia bersama saya dalam keadaan rupa saya begitu menyebabkan perasaan saya agak terganggu.

“Namun, motivasi saya kembali semula apabila suami akan tetap puji saya cantik. Saya tahu ia (cantik) tidak betul, mungkin dia hanya jaga perasaan saya dan mahu kurangkan tekanan yang saya hadapi tetapi ternyata ia memang melegakan,” katanya.

Nor Sahira berkata, dia tidak berhasrat untuk berkongsi kisah itu kepada umum sebaliknya hanya melakukan perkongsian di story WhatsApp yang tanpa disedari turut dihubungkan dengan story Facebook.



Disebabkan itu, katanya, lebih 100 kenalannya di Facebook bertanya perihal itu menyebabkan dia memutuskan untuk berkongsi secara hantaran di Facebooknya kerana tidak sempat membalas satu persatu mesej yang diterima.

“Tidak sangka pula perkara ini menjadi tumpuan ramai. Rata-rata mereka seakan tidak percaya perkara ini benar-benar berlaku kerana saya akui sepanjang rupa saya berubah sebegitu, saya banyak berdiam dan tidak aktif di media sosial.

“Cuma saya agak kesal apabila ada yang mengatakan saya melakukan suntingan pada gambar itu untuk menjadikan rupa saya lebih teruk. Ada juga yang kata saya gunakan gambar orang lain demi melariskan produk dalam talian yang saya jual,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button