Dah pernah ditangkap, didenda tapi tetap ingkar PKP

Hebahkan !!!

REMAJA perempuan antara 11 individu yang tidak serik ditangkap dan didenda apabila ditahan buat kali kedua kerana mengulangi perbuatan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, remaja perempuan itu ditangkap di Sibu pada 13 April lalu dan ia kes tangkapan pertama bagi kesalahan berulang.

Katanya, suspek ditangkap pertama kali pada 4 April dan didakwa di mahkamah pada 6 April.

“Kes akan dibawa semula ke mahkamah pada 6 Mei sementara menunggu laporan akhlak dan suspek dibebaskan dengan jaminan RM500 dengan seorang penjamin.

“Tetapi dia didapati melanggar PKP sekali lagi pada 13 April dan dikompaun RM1,000 tetapi belum membayarnya,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Dev berkata, semua 11 individu yang ditangkap kerana mengulangi ingkar PKP adalah dari tujuh daerah di negeri ini.

Katanya, tiga ditangkap di Sibu, Sarikei (dua), Kuching (dua), Limbang (seorang), Kota Samarahan (seorang), Padawan (seorang) dan Meradong (seorang).

“Kita tidak tahu mengapa mereka mengulangi perbuatan mengingkari PKP, sedangkan mereka tahu penguatkuasaan PKP adalah untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Sementara, Dev berkata, seramai 80 orang ditangkap dalam tempoh jam 8 pagi semalam hingga hari ini kerana ingkar PKP.

Katanya, tangkapan tertinggi di Kuching seramai 36 orang, Miri (16) Kota Samarahan (enam), Padawan (lima), Sarikei (empat), Betong (empat), Mukah (empat), Simunjan (tiga), Limbang (seorang) dan Meradong (seorang).

Beliau berkata, seramai 73 orang dituduh iaitu di Kuching seramai 36 orang, Miri (16 orang), Kota Samarahan (enam), Padawan (lima), Sarikei (empat), Betong (empat), Mukah (empat), Simunjan (tiga), Limbang (seorang) dan Meradong (seorang).

“Jumlah tangkapan keseluruhan sejak 18 Mac ialah seramai 1,493 orang dengan jumlah pertuduhan membabitkan seramai 932 orang,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: