‘Simpanan ada sikit, bantulah artis susah lain’ – Zaiton Sameon

KUALA LUMPUR: Bukan sombong menolak sumbangan, tetapi pelakon veteran, Zaiton Sameon, 64, masih mempunyai sedikit simpanan hasil berniaga rendang dan minyak wangi.

Penyanyi lagu Menaruh Harapan itu berkata, pendapatannya terjejas berikutan perniagaan rendang dihentikan operasi dan tawaran persembahan pula dibatalkan.

Bagaimanapun, katanya, duit simpanan menyelamatkannya untuk meneruskan kelangsungan hidup pada saat getir tidak boleh bekerja.

“Saya masih ada sedikit simpanan hasil berniaga. Meskipun tak banyak, tetapi cukuplah untuk kegunaan saya sebatang kara.

“Jujurnya, saya sentiasa beringat menyimpan sedikit duit berniaga dan menyanyi. Saya tak tahu nasib kehidupan pada masa akan datang.

“Setakat ini, saya tak memerlukan bantuan. Jika ada yang mahu menghulurkan sumbangan, lebih baik diberikan kepada artis susah yang lebih memerlukan,” katanya kepada BH Online.

Mengulas perkembangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Zaiton berkata, tidak banyak aktiviti dapat dilakukan, selain duduk berehat dan menggunakan masa senggang untuk beribadah dan membaca al-Quran.

Katanya, dia tidak keluar rumah, hanya memesan barang keperluan secara talian kerana bimbang risiko dijangkiti COVID-19 bagi wanita berusia sepertinya.

Disebabkan PKP, Zaiton berkata, dia terpaksa menangguhkan perniagaan rendang kerana sukar mendapatkan bahan mentah.

“Jualan Rendang Dapur Zaiton Sameon mendapat sambutan menggalakkan. Kami pernah menerima tempahan sebanyak 30 kilogram tempahan, setiap hari. Bagaimanapun, saya terpaksa menghentikan operasi kerana kesukaran mendapatkan bahan mentah.

“Setakat ini, saya belum memutuskan membuka tempahan pada Ramadan, biarpun ramai peminat bertanya,” katanya.

Namun, katanya, dia mengharapkan tempoh PKP segera tamat kerana agak bosan lebih sebulan ‘terperangkap’ dalam dalam rumah.

“Saya rindu menikmati teh tarik kedai mamak. Jika ikutkan, terasa sangat bosan tak dapat keluar dan hanya memerap dalam rumah. Tetapi, kita kena akur arahan kerajaan demi memutuskan rantaian COVID-19.

“Rutin akan bertukar apabila tidak dapat keluar ke masjid pada Ramadan ini. Saya juga pasti merindui majlis undangan berbuka puasa.

“Bagaimanapun, dari sudut positif, saya melihat PKP sebagai satu peluang meningkatkan amal ibadat dengan menggunakan waktu yang ada untuk membaca al-Quran dan melakukan solat tarawih di rumah,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker