Pelajar di zon tengah dibenar pulang mulai malam esok – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 26 April — Pergerakan pulang pelajar yang terkandas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke rumah masing-masing akan bermula malam esok dengan melibatkan pelajar di zon satu atau zon tengah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Zon tengah ini seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa universiti di zon tengah, jadi mereka yang akan mula pulang dulu, esok,” katanya pada sidang media harian PKP di sini, hari ini.

Bagi pelajar yang ingin pulang ke rumah yang berada di zon merah dan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan, mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Bagaimanapun pelajar ini dibenarkan pulang ke rumah keluarga yang terdekat di zon hijau sehingga kawasan rumah mereka kembali diisytiharkan sebagai zon hijau,” katanya.

“Ini antara perkara sedang dibincangkan dan diperhalusi Kementerian Pengajian Tinggi termasuk isu pelajar luar kampus yang tinggal di zon merah seperti di Kampung Baru yang ingin pulang ke kampung halaman,” katanya.

Antara perkara yang akan dipertimbangkan adalah pelajar luar kampus di zon merah mungkin perlu menjalani ujian swab bagi mengesan jangkitan COVID-19 sebelum dibenarkan pulang.

Namun, beliau menegaskan pelajar luar kampus yang berada di zon merah dan mahu pulang ke kampung halaman di zon merah, ia tidak dibenarkan sama sekali.

Pada masa yang sama, beliau berkata sekiranya pergerakan merentas negeri diluluskan kerajaan, ia hanya akan dilakukan selepas selesai proses pulang pelajar ke rumah masing-masing.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *