Liga-M: FAM tunggu keputusan rasmi kerajaan

KUALA LUMPUR, 26 April — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan berhubung arahan menghentikan sementara saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjangkakan keputusan itu akan diketahui dalam tempoh terdekat.

“Pihak FAM dan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) mengharapkan satu jawapan secara rasmi sekiranya Liga-M terpaksa dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19 dan saya jangkakan kita (FAM) akan mendapat jawapan mengenai perkara ini minggu depan.

“Jika benar ia terpaksa dibatalkan, maka keputusan rasmi adalah penting supaya FAM dapat mengambil tindakan selanjutnya,” kata beliau ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkata Liga-M musim 2020 tidak boleh dianjurkan buat sementara walaupun selepas tempoh arahan tersebut ditamatkan.

Kenyataan Ismail Sabri itu dibuat kira-kira 24 jam selepas FAM mengesahkan menghantar permohonan rasmi melalui Kementerian Belia dan Sukan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Permohonan itu untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dipatuhi bagi membolehkan saingan Liga-M 2020 diteruskan selain memberi gambaran jelas bahawa kedua-dua entiti bola sepak negara bersedia untuk meneruskan Liga-M.

Difahamkan, FAM dan MFL merangka beberapa SOP baharu untuk setiap pasukan bertanding dengan kesemua pemain dan pegawai pasukan diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 dalam usaha mengurangkan risiko dijangkiti wabak itu.

“Sememangnya FAM dan MFL bersedia dan mempunyai beberapa pilihan mengenai perkara ini termasuk pilihan terakhir iaitu pembatalan liga,” kata Mohd Yusoff.

FAM dan MFL menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka sejak 16 Mac lepas susulan penularan COVID-19 selain untuk mematuhi penguatkuasaan PKP bagi memutuskan rantaian penularan wabak tersebut.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *