Lelaki sembunyi wang hampir RM4 juta dipenjara setahun

 

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki sembunyi wang hampir RM4 juta dipenjara setahun
Gambar Hiasan

Padah menolong menyembunyikan wang hampir RM4 juta milik sebuah syarikat dari Ecuador berkaitan urusan pembelian alat ganti mesin penjana elektrik, seorang kontraktor dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hafiz Abdul Halim, 36, selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah atas tiga pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.



Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan, namun hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh dituduh pada 19 Disember lalu.

Muhammad Hafiz didakwa menolong menyembunyikan RM3.9 juta kepunyaan sebuah syarikat sedangkan tertuduh mengetahui wang itu bukan miliknya.

Kesalahan dilakukan di CIMB Bank, Wisma Genting, Jalan Sultan Ismail, di sini pada 6, 8 dan 12 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.



Terdahulu, semasa prosiding, peguam Maidzatul Akmal Daud merayu supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana sudah insaf dengan perbuatan tersebut.

Menurut peguam itu, tertuduh perlu menyara isterinya yang juga suri rumah selain anak yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

“Pengakuan bersalah ini menjimatkan masa mahkamah selain dia memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu pada masa depan.

“Dia akan lebih berhati-hati supaya tidak berkongsi maklumat peribadi dengan pihak lain,” katanya.



Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hannif Ahijman memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kes ini melibatkan tiga pertuduhan, membabitkan kerugian hampir RM4 juta.

“Ini juga akan memberi peringatan kepada tertuduh dan orang awam agar tidak terlibat atau menyerah akaun kepada pihak ketiga,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button