Inspektor didakwa rogol dan cuba cabul dua wanita Mongolia

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=UQo8DBesf_E[/embedyt]

 

PETALING JAYA: Sehari selepas dituduh memperdagangkan dua wanita Mongolia bagi tujuan eksploitasi seks di Mahkamah Sesyen Klang, seorang inspektor polis hari ini dihadapkan pula ke Mahkamah Sesyen di sini atas lapan tuduhan merogol serta satu dakwaan cubaan mencabul mangsa sama.

Hazrul Hizham Ghazali, 30, yang ditahan polis pada 11 April lalu, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga kelapan, Hazrul Hizham yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, didakwa merogol dua wanita Mongolia berusia 20 dan 36 tahun, menggunakan kedudukan kuasanya sebagai pegawai kanan polis bagi mendapatkan kerelaan kedua-dua mangsa.



Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dua bilik berbeza di PJ Luxe Butik Hotel antara jam 12 tengah malam hingga 11 pagi, 11 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa pertama dengan niat hendak mencabul kehormatan wanita itu di khemah petugas sekatan jalan raya Tol NPE, PJS 2, di sini, pada jam 5.30 hingga 6.15 petang, 11 April.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes itu membabitkan penggunaan kuasa dan ada kecenderungan tinggi saksi akan diganggu.



Bagaimanapun, Hazrul Hizham dalam rayuan menerusi peguamnya, Shah Rizal Abdul Manan memohon diberikan jaminan dengan alasan dia dibenarkan diikat jamin RM20,000 oleh Mahkamah Klang semalam.

“Saya percaya semua kes ini akan dibicarakan bersama kerana membabitkan mangsa sama. Mangsa juga kini ditempatkan di rumah perlindungan dan adalah mustahil untuk tertuduh mengganggu mereka,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM27,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen Klang semalam, Hazrul Hizham juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) ketika dihadapkan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.



Dia didakwa memperdagangkan seorang perempuan warga Mongolia berumur 20 tahun, bagi maksud eksploitasi seks dengan penyalahgunaan kuasa, antara kira-kira jam 10.30 malam 10 April hingga kira-kira jam 8.30 malam 11 April, di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya.

Bagi pertuduhan kedua, pegawai polis itu didakwa pada waktu dan hari sama, di sebuah lagi bilik di hotel sama melakukan kesalahan sama terhadap seorang perempuan warga Mongolia berumur 36 tahun. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara antara tiga hingga 20 tahun dan denda.

Bagi kes di Mahkamah Sesyen Klang, tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport antarabangsanya jika ada serta melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan dengan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 17 Jun.

Hazrul Hizham (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan merogol dan mencabul kehormatan dua orang warga Mongolia. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Hazrul Hizham (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan merogol dan mencabul kehormatan dua orang warga Mongolia.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button