KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA 30 APRIL 2020

PENYERAPAN PERANAN DAN FUNGSI JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA KE DALAM JABATAN PENGANGKUTAN JALAN

1. Kementerian Pengangkutan amat prihatin tentang keselamatan orang ramai khususnya pengguna jalan raya di seluruh negara. Berhubung dengan itu, Kementerian memutuskan bahawa peranan dan fungsi Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) diserap ke dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkuatkuasa 1 Mei 2020, bertujuan memperkasa serta memantapkan lagi jabatan-jabatan di
bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

2. Penyerapan ini adalah mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pengangkutan jalan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta
333) dan Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan iaitu :

i. Suatu akta bagi membuat peruntukan mengenai pengawalseliaan kenderaan-kenderaan motor dan lalu lintas di jalan-jalan dan perkara lain yang berkenaan dengan jalan-jalan dan kenderaan-kenderaan di atasnya;

ii. bagi membuat peruntukan mengenai perlindungan pihak ketiga terhadap risiko yang berbangkit daripada penggunaan kenderaan-kenderaan motor;

iii. bagi membuat peruntukan mengenai penyelarasan dan pengawalan cara-cara dan kemudahan bagi pengangkutan;

iv. bagi membuat peruntukan mengenai penyelarasan dan pengawalan cara-cara dan kemudahan bagi pembinaan dan penyesuaian kenderaan-kenderaan motor;

v. dan bagi membuat peruntukan mengenai maksud yang berkaitan.

3. Kementerian juga ingin menjelaskan bahawa para kakitangan JKJR akan terus berkhidmat di JPJ bagi menjalankan tugas sebagai peneraju
advokasi keselamatan jalan raya demi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya. Para kakitangan akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras bagi inisiatif-inisiatif baru ke
arah peningkatan keselamatan jalan raya.

4. Kementerian mengharapkan penyerapan ini akan menambahbaik dan mempertingkatkan lagi urus tadbir jabatan khusus dalam soal
keselamatan jalan raya sekaligus membawa manfaat kepada rakyat Malaysia.

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA
30 APRIL 2020

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker