KENYATAAN MEDIA MENTERI PENGANGKUTAN 1 MEI 2020
PERUBAHAN GARIS PANDUAN UNTUK PERKHIDMATAN PENGANGKUTAN AWAM BAGI TEMPOH SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN
Sebagaimana keputusan Kerajaan untuk membuka semula ekonomi negara secara berperingkat, beberapa panduan berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam akan mula dikuatkuasakan mulai hari Isnin, 4 Mei 2020 ini bertujuan memudahkan perjalanan orang ramai ke tempat kerja dan membolehkan syarikat-syarikat berkaitan beroperasi dengan baik.
Mulai 4 Mei 2020, semua perkhidmatan pengangkutan awam akan kembali beroperasi seperti sediakala sebagaimana waktu operasi sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 lalu.
Walau bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan ingin mengingatkan kepada semua penumpang dan kakitangan dalam perkhidmatan pengangkutan awam supaya sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa berikutan PKP masih lagi dikuatkuasakan dan belum ditamatkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, 1 Mei 2020, lebih ramai pengguna pengangkutan awam akan berada di stesen-stesen dan perhentian atau terminal. Sehubungan itu, pengendali pengangkutan awam telah diarahkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan dengan sewajarnya seperti memastikan penjarakan selamat diamalkan, cecair pembasmi kuman atau ‘hand sanitizer’ mudah diperolehi dan kerap menjalankan sanitasi di tandas awam, tempat duduk dan tempat-tempat yang sentiasa disentuh oleh orang ramai.
Pengguna pengangkutan awam diingatkan supaya mematuhi semua garis panduan jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter selagi mana ia boleh dilaksanakan. Gunakan kaedah tanpa sentuhan ketika berurus niaga jika boleh. Dalam masa sama, pengguna juga diminta supaya mematuhi peraturan-peraturan tambahan yang ditetapkan oleh pengendali pengangkutan awam sekiranya ada.
Penumpang dan kakitangan pengangkutan awam juga digalakkan untuk memakai topeng muka serta ‘hand sanitizer’ sebelum dan selepas menggunakan pengangkutan awam. Sesiapa yang mempunyai suhu badan yang tinggi dinasihati tidak menggunakan pengangkutan awam dan segera menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan terdekat. Kementerian dan agensi-agensi di bawahnya akan terus meningkatkan pemeriksaan kesihatan di stesen-stesen pengangkutan awam secara berkala.
Garis panduan kesihatan seperti yang dinyatakan di atas juga boleh digunapakai oleh para pekerja di bahagian logistik. Operasi sektor darat digalakkan menggunakan mod pengangkutan kargo melalui rel dan bukannya pengangkutan jalan raya seperti pemindahan antara terminal selagi boleh. Manakala kenderaan-kenderaan seperti lori perlu disanitasi dengan kerap dan para pemandu juga perlu sentiasa mengamalkan penjarakan selamat ketika berada di tempat kerja.
Setakat kini, operasi untuk kapal persiaran adalah tidak dibenarkan.
Diingatkan sekali lagi bahawa pandemik COVID-19 masih lagi menimbulkan risiko terhadap kesihatan orang ramai. Kementerian akan terus memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pengguna pengangkutan awam di seluruh negara sentiasa diutamakan. Orang ramai dinasihatkan hanya keluar rumah sekiranya perlu sahaja sama ada untuk pergi ke tempat kerja atau pun bagi mendapatkan barangan keperluan penting.
Kementerian ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja 2020 kepada semua pekerja dan setinggi penghargaan kepada petugas di barisan hadapan dalam bidang perubatan dan penguatkuasaan atas pengorbanan ketika menangani pandemik COVID-19 ini.
DATUK SERI IR DR WEE KA SIONG
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
1 MEI 2020