Janji nak bayar malam ‘final’ – Mark Adam

KUALA LUMPUR: Seorang lagi pelakon teater Korupsi Dewan Semandung yang dipentaskan di Istana Budaya (IB), akhir Februari lalu, mendakwa belum menerima baki bayaran daripada penerbit.

Mark Adam kesal Syarikat Ogy Ventures & Network gagal melunaskan baki bayaran biarpun berjanji melangsaikannya pada hari terakhir persembahan iaitu pada 1 Mac lalu.

Mark atau nama sebenar, Mark Adam Fikri Abdullah mendakwa syarikat produksi yang dimiliki Fauziah Ahmad Daud itu masih berhutang dengannya sebanyak 70 peratus daripada bayaran keseluruhan.

“Bayaran sepatutnya diselesaikan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mengikut perjanjian, kami akan terima bayaran pada hari terakhir pementasan iaitu pada 1 Mac lalu.



“Tetapi sehingga hari ini, kami masih belum terima. Saya hanya dapat 30 peratus bayaran, itupun diberi lewat daripada dijanjikan. Kami sudah beri yang terbaik untuk menjayakan pementasan itu.

“Lebih dua minggu kami komited berlatih di IB dari pagi hingga tengah malam.

“Kami berusaha bersungguh-sungguh buat orang terhibur. Sudah tentu saya kecewa, apatah lagi membabitkan insan seni yang berpengalaman dan dihormati.

“Dari awal berjanji macam-macam, tapi semuanya bagai tidak serupa bikin,” katanya kepada BH Online.



Apa yang membuatkan Mark lebih kecewa adalah sikap Fauziah yang didakwanya berdolak-dalik.

“Bayangkan, bayaran pertama saya ditangguhkan. Sepatutnya, bayaran itu perlu dilunaskan selepas kontrak ditandatangani. Tetapi, saya terima selepas dua minggu berlatih. Apabila setiap hari bertanya, barulah dibayar.

“Saya dijanjikan dua kali bayaran. Sebaliknya, bayaran kedua juga lewat. Disebabkan itu, pada malam terakhir, saya terfikir tidak mahu beraksi.

“Namun, enggan membiarkan nama pengarah, Khir Rahman dan kawan-kawan ‘busuk’, saya beri kerjasama. Kami juga beri dua minggu kepada penerbit untuk melangsaikan soal bayaran.



“Kami tandatangani dokumen yang menyatakan sekiranya dia tidak melunaskan bayaran sebelum 16 Mac, dia boleh disaman. Tapi dia mendiamkan diri sehingga malam 16 Mac lalu. Dia beritahu masih mencari jalan untuk meminjam wang.

“Sehinggalah PKP dilaksanakan, dia beri alasan sukar untuk mendapatkan pinjaman bank dalam keadaan begini. Satu demi satu alasan yang diberi, membuatkan kami hilang sabar,” katanya.

Mark berkata, dalam situasi mencabar ini, dia memerlukan pendapatan untuk menanggung keluarga.

“Saya ada komitmen yang perlu diselesaikan. Bukan sahaja keluarga di sini, saya juga perlu beri belanja kepada famili di Filipina.



“Dalam keadaan tidak ada tawaran, kami cuba buat kerja dari rumah. Alhamdulillah, ada sedikit sebanyak boleh membantu. Tapi cuba fikir pelakon dan kru yang ada tanggungan besar.

“Kasihan pada rakan-rakan lain sebab ada yang tidak dapat bayaran langsung. Kalau dari awal jujur mengaku tiada bajet, kami boleh bertimbang rasa. Tetapi apabila dia bercakap tidak serupa bikin, itu yang membuatkan kami kesal,” dakwanya.

Mark berkata, Fauziah ada membuat pembayaran RM1,000 kepada beberapa pelakon, beberapa hari lalu, tapi bukan dirinya.

Mark berharap Fauziah dapat melunaskan bayaran semua pelakon dan kru secepat mungkin tanpa memanjangkan kemelut itu.



Baru-baru ini, salah seorang pelakon, peserta Raja Lawak musim pertama, Che Mat membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn Cheras atas dakwaan penerbit gagal melunaskan bayaran.

Selain Mark dan Che Mat, teater arahan Khir itu dibintangi Joey Daud, Vicha, Tauke Jambu, Chiwan, Tapai dan Sharif Zero.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button