‘ Saya tak lari…’

KUALA LUMPUR : “Lambat atau cepat, saya tetap bayar.”

Itu janji penerbit teater Korupsi Dewan Semandung, Fauziah Ahmad Daud kepada pelakon dan petugas produksi teater berkenaan yang mendakwa belum menerima baki bayaran seperti yang hangat diperkatakan.

Fauziah yang juga pemilik Syarikat Ogy Ventures & Network Sdn Bhd, menafikan tindakan berdiam setiap kali diaju pertanyaan mengenai isu bayaran, sebagai percubaan melarikan diri.

“Tidak ada sebab untuk saya melarikan diri. Saya masih menggunakan nombor telefon sama dan ada dalam kumpulan WhatsApp produksi berkenaan.

“Itu tanggungjawab saya… Saya tidak akan lepas tangan. Kali terakhir saya menghantar mesej kepada kumpulan adalah Khamis lalu. Saya beritahu bayaran akan dibuat dan meminta diberi masa untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada BH Online.

Pelakon drama rantaian Ironi Kasih ini turut memberitahu, dia sedang berusaha mencari jalan melunaskan hutang tertunggak.

“Baki yang masih tertunggak dianggarkan RM100,000. Ada yang sudah menerima bayaran awal sebanyak 30 peratus.

“Baru-baru ini, saya bayar RM1,000 kepada sembilan orang termasuk pelakon dan petugas produksi setiap seorang. Cuma bayaran untuk Douglas Lim belum dapat dilunaskan.

“Walaupun jumlah tidak banyak, tetapi saya berusaha membayar. Mengenai duit hasil jualan tiket, saya tidak ambil langsung seperti didakwa. Sebaliknya, saya gunakan untuk membiayai kos pembinaan set dan audio.

“Tidak dinafikan, besar dugaan dan cabaran yang saya hadapi, namun, itu bukan alasan melarikan diri.

“Saya tetap berusaha walaupun terpaksa membuat pinjaman bank atau daripada perseorangan,” katanya.

Ditanya apakah dia gusar jika kontroversi itu mencalar kredibilitinya sebagai artis senior,  Fauziah atau lebih mesra disapa Kak Ogy berkata, soal reputasi bukanlah sesuatu yang difikirkan sekarang.

“Saya tahu perkara ini hangat diperdebatkan warganet lebih-lebih lagi selepas pelakon memuat naik isu ini di laman sosial. Mereka berhak berbuat demikian dan saya faham situasi mereka.

“Kenapa saya nak rasa malu atau reputasi tercalar? Dalam hal ini, saya tidak meletakkan diri sebagai selebriti.

“Sebaliknya, saya anggap ini ujian buat ahli perniagaan. Saya pernah melalui saat sukar apabila produksi saya gulung tikar

“Namun, tidak sesekali mematahkan semangat. Ambil sahaja contoh, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Dia pernah diisytiharkan bankrap sebanyak tujuh kali. Lihat di mana kedudukannya sekarang. Walau berapa kali jatuh, saya tetap bangkit semula,” katanya.

Baru-baru ini, bekas peserta Raja Lawak musim pertama, Che Mat membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn Cheras, di sini.

Dalam laporan itu, Che Mat mendakwa Syarikat Ogy Ventures & Network gagal melunaskan baki bayaran pelakon teater komedi seram, Korupsi Dewan Semandung yang dipentaskan di Istana Budaya di sini, pada tiga slot, mulai 28 Februari lalu.

Selain Che Mat, teater arahan Khir Rahman itu dibintangi Joey Daud, Vicha, Mark Adam, Tauke Jambu, Chiwan, Tapai dan Sharif Zero.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *