7 legenda bernasib malang

7 legenda bernasib malang

LONDON: Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo mempunyai 11 gelaran Ballon d’Or di antara mereka, namun kumpulan nama legenda ini kempunan memenangi anugerah berprestij itu sepanjang karier mereka.

Legenda kelab dan negara ini mempunyai karier gemilang namun gelaran pemain terbaik dunia sering terlepas kepada pesaing yang lebih baik pada era masing-masing.

Ada di antara nama ini yang anda ketahui, tetapi ada yang mungkin mengejutkan anda, manakala yang lain mungkin anda rasakan dinafikan peluang memenanginya.

1. Thierry Henry



Antara 2001 hingga 2006, bekas penyerang Arsenal itu berada di kemuncak prestasinya.

Dia bukan saja menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dalam empat daripada lima musim berkenaan, dia turut meledak 29 gol dalam 52 perlawanan Liga Juara-Juara – pertandingan yang menjadi kayu ukur nilai pemain di pentas dunia.

Namun pencapaian terbaiknya dalam anugerah Ballon d’Or ialah di tempat kedua. Pada 2003, dia tewas kepada Pavel Nedved.

2. Paolo Maldini



Dia dianggap pertahanan terbaik pernah hadir dalam permainan bola sepak.

Ikon AC Milan itu memenangi 25 trofi, termasuk tujuh gelaran Serie A dan lima Liga Juara-Juara.

Tetapi di sebalik kehebatannya, dia sentiasa dibayangi rakan sepasukan yang lebih mendapat perhatian seperti Andriy Shevchenko, Kaka, George Weah, Marco Van Basten dan Ruud Gullit, yang semuanya pernah memenangi Ballon d’Or.

Pencapaian terbaiknya ialah di tempat ketiga pada 1994 dan 2003.



3. Xavi

Nadi corak permainan tiki-taka Barcelona ini beraksi sebanyak 767 kali untuk kelab Catalan itu.

Sepanjang tempoh itu dia memenangi pelbagai anugerah – termasuk tersenarai dalam pasukan terbaik UEFA sebanyak lima kali dari 2008 hingga 2012.

Bagaimanapun gelaran Ballon d’Or seakan mengelak dirinya, walaupun dia membantu Sepanyol memenangi Piala Dunia 2010 dengan menyempurnakan rekod 91 peratus hantaran lengkap.



Dia sekadar menghuni tangga ketiga sebanyak tiga kali berturut-turut dari 2009 hingga 2011.

4. Ferenc Puskas

Penjaring 84 gol dalam 85 perlawanan untuk Hungary dan 622 gol untuk kelabnya – gagal memenangi Ballon d’Or walaupun sekali sepanjang kariernya.

Legenda Real Madrid itu memenangi lima gelaran La Liga dan tiga trofi Liga Juara-Juara. Namun dia sekadar melihat rakan sepasukan, Alfredo Di Stefano memenangi gelaran itu sebanyak dua kali.



Pada 1960, Puskas menduduki tempat kedua, dan boleh dianggap sebagai pemain terbaik yang tidak pernah memenangi gelaran ini.

5. Kenny Dalglish

Penyerang Scotland ini pemain terbaik yang pernah dilahirkan negara itu.

Dibeli daripada Celtic pada 1977 bagi menggantikan Kevin Keegan, yang setahun kemudian memenangi Ballon d’Or, Dalglish berdepan persaingan sengit untuk gelaran itu.



Pada musim pertamanya dia meledak 31 gol untuk Liverpool, dan 25 gol pada musim berikutnya. Persembahan cemerlangnya membawa Liverpool memenangi tiga kejuaraan Eropah pada 1978, 1981 dan 1984.

Pada 1983, dia tewas kepada Michel Platini untuk gelaran Ballon d’Or.

6. Andres Iniesta

Pemain paling berjaya dalam sejarah bola sepak Sepanyol – dengan 35 trofi, termasuk sembilan gelaran La Liga dan empat Liga Juara-Juara.

Dia tonggak kepada musim ‘treble’ bersejarah Barcelona pada 2009 dan 2015.

Iniesta turut menjaringkan gol kemenangan ke atas Belanda pada final Piala Dunia 2010.

Namun dalam perebutan gelaran Ballon d’Or, dia sekadar di tempat kedua pada 2010, keempat (2011) dan ketiga (2012).

7. Bobby Moore

Pemain paling hebat dalam sejarah England, kapten skuad juara Piala Dunia 1966 itu tidak pernah memenangi gelaran Ballon d’Or.

Dia melakukan tugas cemerlang mengawal Eusebio, pemenang Ballon d’Or 1965, kepada hanya satu gol menerusi sepakan penalti, ketika separuh akhir Piala Dunia 1966.

Sebaliknya, Bobby Charlton dinobatkan pemain terbaik dunia selepas England memenangi piala berprestij itu buat pertama kali pada tahun berkenaan.

Moore tewas kepada peledak Jerman Gerd Muller pada 1970, tahun sama dia diingati kerana terjahan ke atas Jairzinho dan pelukan daripada Pele selepas perlawanan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button