Pukul, pijak warga emas dan buang mayat

SITIAWAN: Seorang lelaki yang dipercayai tidak tahan marah selepas bertengkar, memukul dan memijak wanita warga emas hingga maut sebelum membuang mayatnya dalam parit di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan, semalam.

Mayat wanita berusia 76 tahun itu ditemui anggota polis dalam keadaan separuh tenggelam pada jam 2 pagi, hari ini.

Sebelum itu, polis menerima laporan kehilangan mangsa yang tidak pulang ke rumah selepas keluar berseorangan dengan motosikalnya pada jam 10 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata penduduk kampung melihat mangsa dan suspek yang juga penduduk kampung sama bertengkar di kedai runcit di kampung berkenaan pada petang, semalam.



Menurutnya, penduduk kemudian menemui motosikal mangsa dalam parit di belakang rumah suspek sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut pada jam 8 malam tadi.

“Susulan itu, polis menahan suspek berusia 65 tahun di rumahnya dan lelaki itu mengaku memukul mangsa sehingga lemah dalam rumahnya selain turut memijak warga emas itu.

“Suspek kemudian membawa mangsa dengan menggunakan kereta sorong sebelum mencampakkan mayat mangsa ke dalam parit besar, kira-kira 400 meter dari rumahnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, polis menemui mangsa yang sudah meninggal dunia dalam keadaan separuh tenggelam dalam parit itu.



Katanya, polis juga percaya berkemungkinan mangsa sudah meninggal dunia ketika dicampakkan ke dalam parit.

“Suspek dan mangsa tiada hubungan keluarga dan hanya tinggal sekampung.

“Pertengkaran antara mereka dipercayai disebabkan anak mangsa didakwa tidak menghormati suspek namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat dan suspek direman tujuh hari bermula hari ini.



“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button