Fendy tauke kuetiau goreng

KUALA LUMPUR: Minat memasak mendorong pelakon yang mencetuskan fenomena menerusi drama Mr Grey, Fendy Bakry berniaga kuetiau goreng, sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, anak kelahiran Beseri, Perlis itu memberikan sepenuh tumpuan terhadap kedai makannya, Bhenang Kitchen di Kampung Baru apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

“Saya berniaga kurta di bawah nama Bhenang, tahun lalu. Saya terfikir mahu meneruskan perniagaan sama dan meneroka sektor baru.

“Akhirnya timbul idea Bhenang Kitchen untuk berniaga makanan. Ada hikmah juga tak berniaga kurta dengan keadaan penularan wabak COVID-19 belum berakhir. Saya kekalkan nama dan pasukan yang sama.



“Saya kena fikir mencari sumber pendapatan lain demi survival selepas penggambaran diberhentikan akibat pandemik COVID-19,” katanya kepada BH Online.

Fendy atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri berkata, dia mempunyai alasan menjadikan resipi kuetiau goreng untuk dikomersilkan.

“Saya susah nak jumpa kuetiau goreng yang memenuhi cita rasa jika makan di kedai, sejak dahulu lagi. Mungkin bukan nasib saya berjumpa kuetiau paling sedap.

“Lalu, saya terpanggil melakukan eksperimen sendiri memasak bersama kawan. Kami mencuba beberapa kali untuk mendapatkan rasa yang dikehendaki. Seterusnya, kami fikir menu apa yang mahu disediakan.



“Berkat percambahan minda, wujud pes memasak yang dicipta bersama. Daripada situlah bermula usaha dan cabaran membuka kedai makan di Kampung Baru.

Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 itu berkata, pada awalnya, dia dan pasukan kerja agak bergelut apabila momentum perniagaan agak perlahan.

“Bagaimanapun, tak sangka pula, semakin dikenali dan menerima banyak tempahan dalam tempoh PKP.

“Saya menjual rasa, bukan makanan semata-mata. Sebab itu, saya letak tanda pagar Jom Buncit Sama Sama. Alhamdulillah, ramai sudah menjadi pelanggan tetap.



“Saya dan pasukan kerja akan menjamin kualiti rasa akan terjaga. Insya-Allah,” katanya.

Bekas finalis Hero Remaja 2011/2012 itu berkata, dia pernah didatangi seorang wanita hamil yang mengidam mahu makan kuetiau goreng.

“Tak sangka, wanita itu suka masakan saya. Di kalangan ahli kelab peminat, Fendynisme juga banyak memberikan sokongan dan menghebahkan kepada orang ramai.

“Selain kuetiau goreng, ada menu lain seperti char kuetiau dan spageti aglio olio turut dijual. Jika mahu mencuba boleh melihat Instagram saya atau @bhenangkitchen,” katanya memberitahu menggunakan khidmat aplikasi penghantaran makanan untuk sekitar Kuala Lumpur.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button