Hujahan kes rasuah Isa Samad ditangguh kepada 20 Mei ini

KUALA LUMPUR, 5 Mei — Hujahan lisan perbicaraan kes rasuah berjumlah lebih RM3 juta membabitkan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, di Mahkamah Tinggi di sini, ditangguhkan kepada 20 Mei ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Azizi, memaklumkan kepada Bernama bahawa mahkamah telah menetapkan tarikh baharu itu susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pendengaran hujahan itu sebelum ini ditetapkan pada 21 April.

Pada 14 Jan lalu, pihak pendakwaan menutup kes tersebut selepas 15 hari perbicaraan dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa, 71, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel, Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan menerima rasuah pula didakwa di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 15 Disember 2015.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker