Lelaki dalam video tular aksi dikejar polis berjaya ditahan

LANGKAWI: Rakaman video aksi pasukan peronda polis mengejar kereta dipandu seorang lelaki di Jalan Kampung Chandek Kura, di sini pada Sabtu lalu, kini tular menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Rakaman video berdurasi 28 saat menunjukkan anggota polis yang menaiki sebuah kereta peronda mengejar sebuah lagi kereta dalam kejadian kira-kira jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata lelaki berusia 32 tahun itu berjaya lolos pada malam berkenaan, namun kemudian ditahan di Kampung Ketapang di sini, pada jam 6.30 petang semalam.

“Siasatan polis kemudian menemui kereta digunakan suspek disembunyikan di sebuah garaj di Kampung Padang Saga. Ketika kejadian suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.



Dalam kejadian Sabtu lalu, katanya, suspek pada mulanya dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan lalu diarah berhenti untuk pemeriksaan oleh anggota polis yang sedang melakukan rondaan ‘snap check’ COVID-19, namun terus memecut laju kenderaannya.

“Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dibantu anggota kereta peronda mengejar kereta dipandunya, tetapi dia berjaya melarikan diri sebelum ditahan semalam,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang turut memiliki rekod jenayah berkaitan dadah kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker