PDRM tubuh pasukan petugas pantau pematuhan SOP sepanjang PKPB

PUTRAJAYA, 5 Mei — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan bagi memantau serta memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 15 agensi kerajaan telah diberi kuasa untuk pelaksanaan pematuhan serta penguatkuasaan sepanjang PKPB.

Antara agensi yang terlibat ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela); dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Pendekatan yang akan diambil oleh pasukan ini adalah untuk memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri.



“Pasukan ini juga akan memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Bagi peringkat daerah, beliau menjelaskan Ketua Polis Daerah telah menubuhkan Pasukan Pematuhan PKPB di peringkat daerah, yang dianggotai oleh PDRM, ATM, Rela, APM dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekiranya ada individu atau sektor industri yang masih gagal mematuhi peraturan setelah diberi nasihat dan amaran, maka Pasukan Pematuhan PKPD akan mengambil tindakan mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Mengenai pergerakan rentas negeri melibatkan penggunaan kenderaan awam, Ismail Sabri berkata PDRM sedang membuat kajian mengenai jumlah kenderaan yang boleh digunakan dalam tempoh 7 hingga 10 Mei ini.



“Pergerakan antara negeri masih tidak dibenarkan. Oleh itu, kenderaan seperti bas ekspres dan lain-lain masih belum ada. Saya percaya polis akan lihat dengan lebih teliti bagaimana ingin menyelesaikan isu berkaitan mereka yang pulang menggunakan kenderaan awam pada 7 hingga 10 Mei ini,” katanya.

Ditanya mengenai laporan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Selayang dan Chow Kit, Ismail Sabri menjelaskan PKPD belum dilaksanakan di lokasi itu.

“Belum (arahan PKPD), selagi saya tidak umumkan PKPD…maknanya tiada PKPD. Tapi sesetengah tempat tu (di dua kawasan Selayang dan Chow Kit), kita perketatkan kawalannya dari segi adminstrative atau pentadbiran.

“Mungkin kita kawal dengan kawat berduri dan sebagainya, tapi kita tidak isytiharkan sebagai PKPD lagi…kita control dari segi keluar masuk dengan lebih ketat daripada biasa,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pertahanan itu berkata proses agihan penutup hidung dan mulut percuma di seluruh negara masih diteruskan, dengan hampir 80 hingga 90 peratus kawasan di Semenanjung, telah menerima bantuan itu sehingga kini.

Katanya, bagi Sabah dan Sarawak pula proses agihan masih diteruskan, namun agak lewat sedikit berikutan faktor geografi dan sesetengah kawasan, bantuan perlu dihantar mengunakan bot panjang.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker